U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Hasrat Sang Enggang 1

Wednesday, December 04, 2013 by , under

i. 

Setelah Youtube diklik, aku menaip Dunia Kita Berbeza - Rozita Izlyn untuk dipasang mendodoi telinga. Entahlah apa barangkali untuk menyeru semangat menulis ini tapi kemudian aku memilih untuk pejam dan mendengar lagunya hingga selesai. Lagu ini memang terkenal sewaktu aku membesar kurang lebih 15 tahun lalu tetapi menurut aku waktu itu penyanyi dan lagu ini dianggap tidaklah begitu berkualiti. Manakan tidak untuk bersaing dengan Ziana Zain, Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Erra Fazira yang cukup gemilang tengah 90-an. Bila dilihat 15 tahun yang kemudian, betapa segar dan hijaunya lagu ini terus terkenal hingga sekarang. Pada aku dan beberapa guru yang mendidik aku selama ini, lagu yang berkualiti mungkin tidak akan terkenal dan dihargai pada waktu ia dikeluarkan tetapi suatu waktu nanti ia pasti akan dicari untuk diperdengarkan semula. 

ii. 

Dalam celik menjalani siku liku hari-hari, tersedar Disember sudah menguak. Betapa Oktober dan November membawa aku ke sebuah lagi dunia penghargaan yang optimal dan tidak cuma berlalu tanpa apa. Empat acara besar selama dua bulan ini menyambung kesibukan waktu-waktu sebelumnya. Dari undangan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 yang berlangsung di Kuantan, terbawa ke Kongres Penyair Sedunia ke 33, Penobatan Tokoh Persuratan Dunia Numera 2013 sebelum ditutup dengan Konsert Seni Tradisi Melayu yang baru tamat kurang dua minggu lalu. 

Bulan Bahasa Kebangsaan 2013. 

Tahun lepas aku ada mengusulkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka agar lebih kreatif dalam promosi dan iklan BBK yang setiap tahun berlangsung sepi tak disedari. Ada iklan yang disiarkan menampilkan bintang-bintang ternama dalam dunia sastera tetapi ideanya masih 90an. Aku membayangkan pada mereka supaya jalankan penggambaran dengan konsep yang lebih ke hadapan, terkini dan segar dengan warna-warna yang muda. Tahun ini aku lihat promosinya masih di skala sederhana tetapi peningkatannya menjulang. Dewan Bahasa dan Pustaka bergerak lebih aktif ke setiap bucu negara dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu. 



Sewaktu dihulur undangan mengikut serta dalam Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 sebagai artisan yang menghiburkan tetamu dengan lagu Melayu, manakan boleh aku tolak kerana ini sebuah usaha yang aku sendiri ingin turut serta. Untuk negeri Pahang Darul Makmur, aku diberi penghormatan melaku persembahan pada pembukaannya 9 Oktober 2013 dan penutupannya pada 15 November 2013. Kedua-duanya di Kuantan. Begitu gah disambut ribuan penonton, aku tambah yakin bahawa masih ramai masyarakat yang mencintai Bahasa Melayu dan mendukung usaha DBP serta banyak badan bukan kerajaan dalam menjaga kedaulatannya (ditengah-tengah himpitan orang atasan yang tak putus asa mencanang negara tidak akan maju selagi berbahasa ibunda). Pun, aku masih menunggu undangan dari negeri sendiri; Johor yang masih senyap tidak berbunyi. 

Kongres Penyair Sedunia ke 33.

Berita ini sudah aku maklum sejak awal tahun dimaklumkna sendiri oleh sasterawan dan penerima SEA Writer Award 2013, Pak Malim Ghozali PK. Kongres Penyair Sedunia sebelum ini sudah melata ke banyak negara seluruh dunia dan kali ini dibawa ke Malaysia atas usaha penyair besar ini. Menurut aku, Perak antara negeri yang paling aktif menjayakan usaha kesusasteraan dan bahasa. Festival Puisi Pangkor yang biasanya diadakan pada Disember, dianjak bersama sekali pada kongres yang berlangsung seminggu ini di Ipoh membawa ke Pulau Pangkor. Menyertai kongres ini meski di dalam negara tetapi dikelilingi sasterawan, sarjana, pemikir dan seniman dari 30 buah negara seluruh dunia begitu membuka mata tentang kekuatan dunia sastera dan kepenyairan. 


UU berbulang hulu pada makan malam penutupan kongres di Ipoh sebelum langsung ke Pangkor.


UU, Prof. Madya Arbak Othman & sasterawan Malim Ghozali PK


UU sisi Dr. Zurinah Hassan, Pn. Siti Zaleha Hasyim dan teman di makan malam,
Pulau Pangkor.

Ia meletakkan sastera dan seni bahasa ke satu tahap yang optimal meski caranya masih klasik tetapi keteraturannya jelas. Aku juga menulis sebuah puisi di dalam naskah antologi Kongres Penyair Sedunia ke 33 yang diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris; The Desire of the Hornbill (judul asal dalam bahasa Melayu; Hasrat Sang Enggang). Peribadinya aku sukakan judul ini, persis Lord of The Rings; yang maksudnya di balik judul itu ada sebuah dunia angan-angan. Puisi Hasrat Sang Enggang bahkan sudah aku lagukan berentak jazz dan barangkali dalam akal sudah membayangkan sedikit bossa. 

Tidakkan aku halang hasrat sang Enggang
Tuk lebar sayapnya jauh menerbang
Katanya sesak dalam nafas yang bersarang
Sedang aku cuma si pipit yang berkarang
Sangkarku kecil dan tidak bergemintang
Apakah memang pipit tidakkan sepadan enggang
Janganlah melukut lagi
Di tepian gantang


Hasrat Sang Enggang setelah diterjemahkan

Puisi ini tertulis sekitar Mac lalu sewaktu aku sedang dalam perhubungan bersama seseorang tetapi tidak lama kerana katanya aku sering mengawal. Ya mengawal kerana sayanglah. Kalau tidak, dilantakkan saja!



| edit post

1 Reply to "Hasrat Sang Enggang"

Anonymous on June 27, 2014 at 10:42 AM

Thus investing in proper padding will significantly increase the chances to
have your favourite rug for longer. That after they've completed cleaning the carpet there will be no traces associated with dirt, contaminants and dog scents within the
carpet. Some carpet cleaners might probably eat a whole lot of h2o when they clean.

Feel free to surf to my website :: carpet cleaning ()