Tadi petang, hujan lebat mandikan Kuala Lumpur. Air menyimbah basahkan lantai bumi. Awan larat pun terkedek-kedek jalan dari sini, bawa muatan ke sebelah sana, biar semua merasa. Air tasik membuai. Ada rintik-rintik membuat bulatan bersepah padanya. Ada daun kering gugur beroleng jatuh ke atasnya. Kadang-kadang daun itu berlayar ke sana ke mari. Belum ada tuju. Ada burung-burung kedidi bergaul pipit bersiul sana sini, terbang meliar sebelum bertenggekkan di dahan pokok merimbun. Senang sekali untuk tidak perlu memikirkan soal hiruk pikuk dunia. Max Chua jalan di tepi batu yang tersusun tepi tasik. Sedikit kehadapan dari dia; Khadijah sedang hayunkan tongkat kaki. Kiri tangannya tersangkut Juice Couture mempesona. Terkadang Max Chua mengerling pada Khadijah, menanti kalau-kalau dia mahu berkata sesuatu. Dan kadang-kadang Khadijah tertoleh kebelakang, menanti kalau-kalau lelaki itu mahu memulakan bicara. Tapi langsung tidak, hanya tersengih menyatunya mereka. "Kenapa diam?" lalu Max Chua jadi gentleman. "Huh?" Khadijah tertoleh, tak dengar. "Awak diam.." "Ermh.. tak ada apa... you diam, i pun diam.." Max Chua tergaru kepala yang tak gatal dengan senyuman meleret. "Tak kan nak tunggu saya... sometimes, ladies must take step first..." Max Chua berseloroh bikin Khadijah gelengan kepala dikit. "Banyak lah you punya ladies..." Khadijah berpaling sekejap pada Max Chua lalu senyum nampakkan gigi. Barisan yang putih tersusun cantik itu, menangkap mata Max Chua. Tergetar hati dia bila senyum yang jarang-jarang tersinggah di muka gadis matang ini terhadiah bagi dia. Seraya meruntun jiwa. Laut fikir Max Chua bergelora. Apa lagi yang patut di tanya. Padahal diri sendiri tahu wanita ini sedang menunggu patah-patah kata dia. Mata Khadijah meliar sana sini, pada seorang dua budak kecik yang dipimpin ibu. Manja, sebelum tertampar pada bangku kosong di sebelah situ. Hatinya menyuruh dia ke sana. Duduk-duduk sekejap. Max Chua membontoti Khadijah yang punggungnya sudah lena terlabuh atas papan kerusi panjang itu. "Penat..." Khadijah bicara waktu kaki tersilang antara dua. Max Chua senyum sedikit. Dia ikut duduk di hujung kerusi situ seraya lempar pandangannya jauh-jauh ke segenap suasana. Dadanya bergerak waktu menghelah nafas selesa tapi seluruh pemikirannya masih pada perempuan di sebelah dia. Max Chua lihat jam di tangan dan dia pandang ke depan semula. Khadijah nampak tapi Khadijah diam. Dua manusia ini diam lagi. Dua tiga jari Max Chua bermain di sisi peha. sebelah lagi memegang bimbit. Entahlah tiba-tiba dia jadi tak senang nak bercakap padahal Khadijah bukanlah asing. Cuma semenjak dua ini, hatinya berbeza. Pandangannya pada perempuan ini juga berbeza. Khadijah berdehem. "Dah lapar ke?" Khadijah memandang Max Chua yang cepat-cepat mengalih perhatian pada dia. "Erhh.. mana ada..." "Habis asyik tengok jam..." "Tengok ja...bukan kata saya lapar.." "Macho lah tu..." ayat Khadijah buat Max Chua pecah ketawa. "Pandai usik saya, ya..." Khadijah ikut Max Chua tersengih. Dua matanya tersangkut pada wajah cina yang sedikit-sedikit meragut hati dia. Lelaki cina yang sengaja mahu mengikut permintaan dia supaya menahan lapar, kalau mahu ikut ke majlis berbuka puasa. "Betul?" Max Chua tanya. "Ya.. kalau berani.." "Awak jangan cabar saya, Khad.." "I dare you, Max.. kalau berpuasa seminggu, you boleh duduk semeja dengan I, waktu majlis tu nanti..." "You such a smart woman... Okey, i terima. Deal!" "No lah! I gurau... no need to puasa 4 me.." "Tak apa.. saya terima..." "Serius?" Max Chua angkat dua kening. Khadijah teringat waktu dia sengaja suruh Max Chua berpuasa, dengan niatnya yang hanya bergurau. Kasihan juga lihat dia berlapar begini, sudah pun tiga hari. "Kenapa you tergerak hati sangat nak puasa, Max?" Max Chua tak jawab cepat-cepat. Matanya dikejauhan tapi kerongkongnya bergerak. "Tak ada apa..." "Habis?" Khadijah tanya lagi. Max Chua mengalih mukanya menghadap Khadijah yang disebelah. "Cuma mahu rasa apa yang kamu rasa..." Bibir Khadijah mengengsot dengan mata bertanya. Mahu tersenyum tapi entah untuk apa pula. Jawapannya masih kabur. "Kamu jangan tengok saya macam tu..." Max Chua menyuruh, tak mengerti diperhati begitu. Jadi tak senang duduknya. "Jawapan you belum complete lagi..." "Yang mana?" "Apa yang I rasa?" "Ya.. rasa apa yang orang seperti kamu rasakan waktu berpuasa..." "Apa yang you dapat rasa?" Max Chua belum menyusun ayat untuk soalan itu. Dia toleh semula ke depan, pada air tasik yang bergelombang. Pada angin yang meniup petang. Pada manusia yang berselerakkan. Tapi akalnya berputar. "Saya hanya dapat merasakan, betapa orang seperti kamu, yang berpuasa, miliki hati yang kuat. Saya tak dapat membayangkan macam mana kamu boleh tahan lapar selama sebulan di waktu siang, waktu kamu terpaksa keluar bekerja, dengan cuaca panas... Saya yang baru berapa hari, dah rasa mengigil satu badan..." Khadijah tak tahu menjawab. Dia hanya tahu memandang muka letih seorang lelaki agama lain yang baru-baru hendak belajar berpuasa. "Saya tak tahu apa yang ada pada bulan ni.. tapi saya pasti ia sesuatu yang cukup bermakna untuk kamu... untuk semua orang Islam..." Max Chua cakap waktu dia masih memandang ke hadapan tapi bersepah, biar ditujukan pada Khadijah. Khadijah mengangguk tak laju. Mengiyakan alasan Max Chua dalam sanubari. Khadijah belum pernah menyangka lelaki ini akan berikan alasan sejujur itu. Biar selama ini, pengurus akaun syarikat tersohor sebumbung dia, selalu dilihat begitu diam dalam kesederhanaannya. Naluri wanita dia, terbungkam. "Islam itu mudah. Puasa bukan bertujuan memberatkan kami. Tujuannya untuk ajar kami untuk bersabar dengan nikmat dunia..." "Islam tu apa sebenarnya...?" Max Chua terbit dengan soalan yang membulatkan mata Khadijah. Ada tanda tanya dalam jiwa dia. Biar dia tahu ini bukan kali pertama dia bercerita tentang ini cuma Max Chua benar beza kali ini. Khadijah tak jawab lekas-lekas. Benaknya berlegar jari jawapan yang paling baik. Dia bukanlah seorang yang kamil untuk kasikan apa yang paling sempurna tapi dia tahu Max Chua hanya mahukan perkataan yang tak memeningkan kepala. Max Chua masih memandang Khadijah dengan muka berharap. Matanya tak laju berkelip biar disapu angin. Sepasang matanya menatap dahi Khadijah yang atasnya tesalut anak tudung hitam. Atasnya teralas hijab merah berlukis manik di hujung. Di dadanya terlekat kerongsang bunga pecah lima. Lalu matanya tersangkut pada pipi licin dia sebelum merayap pada bibir kecil Khadijah yang tidak disapu pewarna. Masih merah walau bukan menyala. Jambunya tetap mengiurkan mana-mana dan siapa-siapa yang memandang. "Islam itu mengucap dua kalimah shahadah..." suara Khadijah memutuskan angan-angan dia. "Sembahyang lima waktu, tunaikan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan pergi haji kalau mampu.." Max Chua kemamkan bibir halus dia selepas dengarkan jawapan sederhana wanita ini. Kemas suaranya. Indah ucapannya. Bikin hati yang sudahlah bergetar, dilambung rasa gelora. "Jadi berpuasa juga penting dalam agama kamu..." Khadijah anggukkan kepala dengan senyuman terteman di perbuatan itu. Max Chua mengerti dan dia tidak tanyakan lagi. Dadanya berombak waktu menerima udara petang yang tersedut di dua hidung. Kemudian Max Chua alihkan muka ke sebelah sana. Dilempar jauh-jauh. "Saya pasti, akan menemui sesuatu di dalamnya, satu hari nanti..." Max Chua senyum sedikit. Khadijah melihat dengan rasa berbeza sekali. Dia tak tahu apa yang sedang lelaki ini fikirkan. "Apa you fikir?" Khadijah tanya pula. "Hanya fikirkan kamu..." "I?" "Bila nak ajak saya makan..." Pecah tawa Khadijah. Tertangkup lima jari halus menutup mulut bikin tak semena empat mata itu bersangkutan. Max Chua memerhati mata Khadijah, dalam dan diam. Lama-lama tawa jadi reda. Senyum jadi kecil dan ada sesuatu yang tak kena. Seluruh isi jiwa terhenti. Seluruh pelusuk alam terkelu. Max Chua tak tahu dia sedang berbuat apa tapi pandangannya ada lambang kasih, sayang, cinta dan rindu seraya hatinya berdebar sekali. Asingnya rasa ini, jarang sekali singgah dalam lubuk hati. Khadijah terpegun. Matanya yang sudahlah bulat, tambah sayu, meruntun. Bamh! Bola kecil jatuh di hadapan dua manusia, maka terganggu seluruh isi cerita yang baru sedang dilakar mereka. Max Chua tersedar. Khadijah terkesima, cepat-cepat dia alihkan rasa. "Sorry, bang..." berlari budak kecil yang terkejar mengambil bola. Max Chua meneman dia kembali pulang ke pangkuan ibu yang ada di hujung taman lalu dia tundukkan muka. Khadijah lihat jam di tangan. Sudah ke jam enam petang. "Jom lah.. nanti ramai orang..." Khadijah mengajak dalam rasa malu yang belum hilang, alihkan topik. "Nak ke mana?" "You pick..." Khadijah diam memikir. "Rebung?" "Anything for you..." Max Chua senyum mengusik. Khadijah tertunduk lagi tapi kali ini dia sudah bangun dan hayunkan tongkat kaki. Sebelah tangan Max Chua menyeluk poket seluar. Sebelah lagi menggaru kepala. Jauh sekali perginya dia hari ini. Lagu petang berkumandang sana sini.
3 Reply to "Babak Dua"
Anonymous on August 31, 2009 at 6:59 PM
hmmm intro yg baik..
best je suasana tu..
tp mcm x kena bila masuk cerita..
mcm x smooth n lembut..
3 bintang!
hehe
Penapenis on September 1, 2009 at 3:45 AM
love the details..ibarat hiasan manik2 yang dijahit halus dan penuh teliti pada sepasang baju.. hehe.. apa aku mengarut? selamat malam!
Anonymous on October 26, 2009 at 11:51 AM
islam itu apa sebenarnya??
Islam itu bukan sekadar agama tetapi satu panduan hidup yg sempurna utk umat manusia.. itu yg sebenarnya..
Leave a Comment