U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Malam Bulan Sorokkan Aku (0)

Monday, June 20, 2011 by , under









Barangkali tidak ada siapa siapa, bahkan aku juga sepertinya masih terbang di kelabu awan; menjangkakan semua ini sudah terjadi. Bertahun dulu aku masih ingat, aku duduk duduk di serambi depan rumah kakak saudara, menjadi jenin angankan suatu hari nanti aku bakal keluarkan naskah kumpulan sajak sajak yang aku kumpul berjela.

Dan kemudian lagi aku angankan ia dilancarkan oleh para bijak pandai dalam seni kesusasteraan Melayu, dan lagi aku impikan ia berlangsung di hari jadi aku. Mulanya awal tahun ini memangnya aku rancang untuk keluarkan naskah novel cuma projek novel rasanya perlukan jiwa yang lebih besar kerana menurut angan angan aku, impaknya perlukan mutu yang unggul. Asbab aku belum bersedia, aku kemudian lahirkan Kumpulan Teks Pascamoden - Di Mana Bulan Sorokkan [himpunan 40 sajak dan puisi moden]

Apalah lagi yang lebih bermakna sepanjang bertahun penglibatan aku dalam dunia penulisan seni dari naskah aku diiyakan jumaat malam sabtu lalu di Restoran Rebung yang tersohor milik Dato' Sheikh Muzaffar & Dato' Chef Ismail, 17 Jun 2011 - genap usia aku menjengah ke 24 tahun oleh Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan Dato' A. Samad Said. Apalah lagi yang lekuk lidah aku mampu kata bila manusia tertinggi dalam bahasa Melayu yang tubuhnya masih bergenang dengan ayat ayat Melayu, yang matanya masih celik memikirkan tentang bangsa dan bahasa, lalu sudi merasmikan naskah aku.

Terima kasih aku juga untuk Biduanita Negara Ziana Zain yang menyokong datangnya aku dalam industi seni penulisan dan nyanyian. Walaupun tidak dapat datang malam kelmarin, aku tahu dia selalu doakan yang terbagus untuk aku. Barangkali di acara akan datang, kami boleh duduk bersama.

Semoga datangnya naskah Di Mana Bulan Sorokkan ini, kalaupun tidak banyak, sedikit aku boleh tuang bakti untuk bangsa. Kalaupun usaha aku tidak nampak sekarang, barangkali sepuluh dua puluh tahun mendatang, pun tidaklah apa - apa.

Untuk pencinta bahasa Melayu, seni & kesusasteraan, untuk pengikut dan penjejak cerita aku, naskah ini WAJIB ada ditangan anda selepas Sampai Mati. Di Mana Bulan Sorokkan kali ini datang dengan lebih persona, berjiwa dan penuh gaya dan hanya ada 100 naskah sahaja dalam dunia!

Yang ada di Kuala Lumpur, tunggukan NEXT STOP untuk dapatkan naskah ini kerana aku sedang merancang muncul di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur & Johor Bahru

Salam.. :)



| edit post

0 Reply to "Malam Bulan Sorokkan Aku"