U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Imbauan 2017 (0)

Wednesday, January 03, 2018 by , under




Imbauan 2017

Setulus hati ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para media yang telah mendukung usaha seni saya sepanjang 2017. Hebahan yang murni dan luar biasa ini diharap berpanjangan dalam pencitraan seni sastera dan puisi yang saya bawa. Tahun 2017 turut membawa saya ke dalam sebuah lembaran hebat melalui persembahan unggul terutamanya di panggung dunia Istana Budaya. Harapan saya adalah untuk memberi stanza segar dalam aktiviti persembahan puisi dan seni nasional. Usaha yang amat tekal ini memerlukan sokongan ampuh dari banyak pihak agar dapat berpanjangan. Terima kasih juga kepada pihak ngo dan produksi luar yang telah berkesudian menampilkan saya dalam acara anda. 

Telah empat tahun saya kekal membawa gaya songket dan bersarong untuk persembahan rasmi. Fesyen seni tradisi ini menjadi kekuatan dan pembangunan yang murni sebagai seorang seniman. Risiko memakainya untuk orang yang sukar memahami; "Nak menari?" tapi saya tak berkecil hari. Setiap hal memerlukan komitmen dan kesungguhan. 

Semoga 2018 memberi dan membawa saya ke tingkat yang lebih tinggi dalam arena seni penulisan, muzik dan pengurusan acara mega. Selamat Tahun Baharu 2018!



| edit post

PUITIS DALAM PUITIKA (0)

Saturday, October 14, 2017 by , under


Puitika : Simbolisme bunyi bahasa dan gema puitis; membidik misteri, menembak kabut. 

Selepas kejayaan yang dipalit dengan kontroversi penganjuran Konsert Puitika Pujangga di Istana Budaya pada April lalu, saya hampir hilang dan luntur semangat dalam menganjurkan acara seni. Betapa banyak pujian dan sanjungan dalam menganjurkan konsert puisi pertama di dalam panggung terkenal itu, sama banyak dengan bunyi-bunyi pahat yang belum selesai menambah resah dan pilu. Lalu saya memilih untuk menarik dan menghela nafas matang. Untuk menjadi matang, kita harus terima baik dan buruk di dalam diri, meniliki dan memahami kekuatan dan kelemahan. 






Sekitar Konsert Puitika Pujangga @ Lambang Sari, Istana Budaya - 24 April 2017.


Selepas penerbitan buku Rindu Ramadan Sayang Syawal yang diterbitkan khas pada Syawal lalu (masih boleh didapati melalui mejapoedjanggamalaysia@gmail.com dengan harga RM20 seunit), saya berehat lama dari persembahan dan aktiviti seni. Ada sekali dua temubual dan hebahan seni untuk akhbar dan astro (PMLive). Kunjungan ke Penang pada hujug Ogos lalu menerbitkan semangat baharu bila Majlis Bandaraya Pulau Pinang melalui Ketua Jabatan Khidmat Kemasyarakatan - Cik Rashidah Jalaludin yang begitu mendepa menawarkan kerjasama untuk menganjurkan sebuah acara seni di negeri itu. Sebagai aktivis dan ahli seni, tentulah saya tidak pernah mati dari idea dan pengharapan. Ini sebuah pengharapan yang segar. 

Justeru tidak lama saya ambil masa untuk terbit dengan sebuah acara - kali ini dinamakan 'Festival Puitika Penang'. Festival kerana ia diadakan secara terbuka (bukan di dalam panggung); melibatkan semua masyarakat dan Penang kerana ia dianjurkan di tengah kota seni - George Town. Puitika saya kekalkan kerana niat dan hasrat untuk menjenamakan program dengan judul ini pada masa-masa akan datang. 

Dua kali cadangan lokasi dibincangkan oleh pihak MBPP, akhirnya atas semangat dan kepercayaan seni yang ulung itu, Meja Poedjangga dengan kerjasama IKOSAS diberi penghargaan untuk mengadakan festival ini di Padang Kota Lama; sebuah lokasi ikonik yang terletak di bibir pantai. Saya masih samar tempatnya kerana hanya sekali pernah singgah di Padang Kota Lama, itupun malam sewaktu makan di kedai berderet di situ pekena char kuetiaw. 

Patah sayap bertongka paruh, Festival Puitika Penang kali ini saya usahakan dengan rakan yang lebih bertenaga dan erat, bukan sahaja MBPP malah badan bukan kerajaan Think City yang berupa sebuah organisasi penyokong kesenian dan pembangunan budaya di Penang, Johor dan Kuala Lumpur turut menyatakan sokongannya, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia). Masih menunggu beberapa rakan penajaan, saya fikir penganjuran festival ini merupakan titik tolak yang positif untuk perkembangan penganjuran aktiviti seni berskala besar di luar Kuala Lumpur. Ramai rakan-rakan seni budaya dan sastera terutama di bahagian utara yang menyambut baik akan Festival Puitika Penang ini kerana beranggapan sastera Melayu amat kurang diadakan kerana lebih diberi tumpuan kepada sastera inggeris. Siapa tidak kenal dengan Georgetown Festival (pernah menyertai dalam sebuah fragmen persembahan) dan Georgetown Literary Festival yang setiap tahun dianjurkan, ia membawa aliran sastera inggeris dengan kuat hingga mengenepikan sastera Melayu yang sepatutnya menjadi ibu. 


Bakal diadakan pada 4 November 2017, mulai jam 4 petang hingga 11 malam, Festival Puitika Penang menghimpunkan barisan sasterawan, penyair terkenal, seniman, aktivis seni, pemuzik tersohor, pengkritik, penulis yang akan menampilkan karya-karya bukan sahaja dalam persembahan muzikalisasi puisi tetapi menyeluruh kepada perbincangan ilmiah dan akademia pada sebelah petang melalui edisi Puitikata. Prof, Lim Swee Tin, Anak Kayan, Shirley Idris, Azam Rais, Athan 6th Sense, Regina Ibrahim, Aina Nabila Ahmad, Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) bersama saya sendiri akan mempamerkan sebuah kualiti seni yang berbeza, terkini dan segar dalam usaha menyemarakkan sastera dan seni Malaysia. 

Ayuhlah, kata orang asyik di KL saja, kali ini di Penang - sambil berjalan pekena pasemboq, berfoto di dinding-dinding ikonik, kita santai dan memberi penghargaan kepada seniman belia dan sasterawan yang berjasa terhadap pembangunan pemikiran dan sosial negara. SAMPAI JUMPA oh ya IA PERCUMA!



| edit post

Projek Cerpen - Buku Raya Umar Uzair 2017 (0)

Friday, June 09, 2017 by , under


Sebenarnya naskah ini telah lama saya idam untuk diterbitkan. Ia telah dikarangkan sekitar tujuh tahun yang lalu. Kebetulan kali akhir karya saya dikeluarkan ialah pada 2015 menerusi Pesta Di Padang Jiwa. Sementara menuunggu kumpulan puisi Pada Angin Rindu Yang Membawa Pesan Rahasia yang sedang dalam penelitian sebuah syarikat penerbitan utama dalam negara, saya fikir kepada tidak didahulukan naskah ini sebagai meraikan Lebaran. 

Sebagai penyanyi saya belum berpeluang merakamkan lagu raya tapi sebagai seorang penulis saya hadir dengan sebuah projek cerita pendek - Buku Raya. Saya fikir ini idea yang segar dan wajar dimulakan oleh mana-mana penulis. Kita kekurangan bahan buku bercetak sempena Ramadan atau Lebaran, kerana itu saya ambil keputusan untuk menerbitkan Rindu Ramadan Sayang Syawal dibawah Meja Poedjangga Malaysia. 

Bakal menemui pembaca & peminat pada 10 Ramadan terakhir sehingga Syawal ini, Rindu Ramadan Sayang Syawal didatangkan dengan sampul yang ringkas dan segar. Berharga RM20, boleh didapati secara terus melalui mejapoedjanggamalaysia@gmail.com atau 017 6976761 untuk info lanjut. 

UU






KLIK pada foto untuk besarkan



| edit post

Warna Stigma Bahasaku. (0)

Monday, October 10, 2016 by , under



Apakah masih ramai yang merasai kehadiran Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan? Atau sepi ditiup angin dari bambu yang rimbun? 2016, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) hadir dengan sejuta bunyi cengkerik malam. Sebagai aktivis bahasa dan seni, hal ini sesuatu yang menyedihkan kerana usaha memperkasakan Bahasa Melayu menjadi semakin lemah dengan kehadiran program dwibahasa (Dual Langange Programme) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Sebagai seorang belia yang aktif dengan kehidupan sosial 2017 yang bakal datang, aku ingin melihat perkembangan hebahan dan promosi BBK bukan cuma melalui sayembara dan pertandingan deklamasi puisi. Meski acara ini sesuatu yang menghidupkan, industri seni bahasa memerlukan sesuatu yang lebih terkini dan kreatif. Seperti jelajah semakkan papan tanda, kempen di sosial media yang meluas. Lantik ikon dari kalangan seniman yang aktif dan selebriti yang dapat mengapresiasi bahasa. Perkumpulan belia dan masyarakat dengan acara kebahasaan. Kalaupun pertandingan sayembara dan deklamasi diadakan, wujudkan kerjasama yang rapat dengan badan tertentu dan siaran tv atau radio.  

Sayang sekali, apakah kerana batasan tenaga kerja yang kritis atau dana yang sempit. Kedua-duanya seperti saling membantu kepada pembantutan ini. Aku melihat beberapa sahabat yang dekat memeriahkan BBK dengan penganjuran teater dan pementasan. Itu murni. Aku melihat sahabat menjayakan program seni di beberapa buah acara, itu juga murni tetapi bahangnya hanya sampai kepada persekitaran yang kecil. 

BBK tahun ini ditenggelamkan dengan Hari Sukan Negara yang hebat disambut pada hujung minggu lalu di banyak tempat terutama di Dataran Merdeka dan sekitar Kuala Lumpur. Kementerian Belia dan Sukan amat positif dan mendukung usaha menyatukan rakyat dengan hal-hal kesihatan. Rungutanku adalah apabila judul besar Hari Sukan Negara dalam bahasa kebangsaan hanyalah alat atau 'bantal yang disorongkan' agar bahasa Inggeris mendapat lampu hijau untuk digunakan dalam pecahan perkara atau judul yang sebenarnya mendominasi acara ini. 

Ini hanya satu dari banyak program lain yang melakukan hal serupa. 

Bahasa kebangsaan sewajarnya tidak perlu diraikan dalam sesebuah bulan, kerana telah termaktub dalam perlembagaan. Sedangkan Indonesia juga mentertawakan kita, setelah hampir 60 tahun merdeka, Malaysia masih membincangkan soal pemartabatan bahasa Melayu dan berperang dengan bahasa lain. Padahal di Indonesia ia telah memuktamadkan sejak hari pertama negara itu mendakap kemerdekaan. Ini yang dicakapkan sewaktu aku menghadiri sebuah simposium di Jakarta beberapa waktu yang lalu. 

Tidak juga aku salahkan para Sasterawan Negara dan ketua badan berwajib yang masih duduk di balik meja mesyuarat, kertas kerja demi kertas kerja untuk simposium demi simposium. Barangkali mereka ada pendapat dan gaya sendiri. Sekarang sudah 2016, penggayaan harus lebih deras dan maju. 



Oktober telah berbaki 20 hari. Sebagai aktivis, aku ada cita-cita yang besar samada dalam penganjuran acara dalam bentuk pendidikan dan hiburan bahasa, samada dalam promosi dan hebahan. Hanya sumber dana dan tenaga kerja yang membataskan. Pun, ini bukan pematah semangat. Tidak banyak, sedikit aku ingin melakukan sesuatu. Selain poster Bulan Bahasa Kebangsaan untuk dipromosikan, beberapa temubual dan siaran akhbar sedang diatur untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang apresiasi terhadap bahasa kebangsaan. 

Masih kecil, aku harap suatu waktu dapat menghimpunkan ramai pencinta bahasa di tengah kota!



| edit post