U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

PUITIS DALAM PUITIKA (0)

Saturday, October 14, 2017 by , under


Puitika : Simbolisme bunyi bahasa dan gema puitis; membidik misteri, menembak kabut. 

Selepas kejayaan yang dipalit dengan kontroversi penganjuran Konsert Puitika Pujangga di Istana Budaya pada April lalu, saya hampir hilang dan luntur semangat dalam menganjurkan acara seni. Betapa banyak pujian dan sanjungan dalam menganjurkan konsert puisi pertama di dalam panggung terkenal itu, sama banyak dengan bunyi-bunyi pahat yang belum selesai menambah resah dan pilu. Lalu saya memilih untuk menarik dan menghela nafas matang. Untuk menjadi matang, kita harus terima baik dan buruk di dalam diri, meniliki dan memahami kekuatan dan kelemahan. 






Sekitar Konsert Puitika Pujangga @ Lambang Sari, Istana Budaya - 24 April 2017.


Selepas penerbitan buku Rindu Ramadan Sayang Syawal yang diterbitkan khas pada Syawal lalu (masih boleh didapati melalui mejapoedjanggamalaysia@gmail.com dengan harga RM20 seunit), saya berehat lama dari persembahan dan aktiviti seni. Ada sekali dua temubual dan hebahan seni untuk akhbar dan astro (PMLive). Kunjungan ke Penang pada hujug Ogos lalu menerbitkan semangat baharu bila Majlis Bandaraya Pulau Pinang melalui Ketua Jabatan Khidmat Kemasyarakatan - Cik Rashidah Jalaludin yang begitu mendepa menawarkan kerjasama untuk menganjurkan sebuah acara seni di negeri itu. Sebagai aktivis dan ahli seni, tentulah saya tidak pernah mati dari idea dan pengharapan. Ini sebuah pengharapan yang segar. 

Justeru tidak lama saya ambil masa untuk terbit dengan sebuah acara - kali ini dinamakan 'Festival Puitika Penang'. Festival kerana ia diadakan secara terbuka (bukan di dalam panggung); melibatkan semua masyarakat dan Penang kerana ia dianjurkan di tengah kota seni - George Town. Puitika saya kekalkan kerana niat dan hasrat untuk menjenamakan program dengan judul ini pada masa-masa akan datang. 

Dua kali cadangan lokasi dibincangkan oleh pihak MBPP, akhirnya atas semangat dan kepercayaan seni yang ulung itu, Meja Poedjangga dengan kerjasama IKOSAS diberi penghargaan untuk mengadakan festival ini di Padang Kota Lama; sebuah lokasi ikonik yang terletak di bibir pantai. Saya masih samar tempatnya kerana hanya sekali pernah singgah di Padang Kota Lama, itupun malam sewaktu makan di kedai berderet di situ pekena char kuetiaw. 

Patah sayap bertongka paruh, Festival Puitika Penang kali ini saya usahakan dengan rakan yang lebih bertenaga dan erat, bukan sahaja MBPP malah badan bukan kerajaan Think City yang berupa sebuah organisasi penyokong kesenian dan pembangunan budaya di Penang, Johor dan Kuala Lumpur turut menyatakan sokongannya, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia). Masih menunggu beberapa rakan penajaan, saya fikir penganjuran festival ini merupakan titik tolak yang positif untuk perkembangan penganjuran aktiviti seni berskala besar di luar Kuala Lumpur. Ramai rakan-rakan seni budaya dan sastera terutama di bahagian utara yang menyambut baik akan Festival Puitika Penang ini kerana beranggapan sastera Melayu amat kurang diadakan kerana lebih diberi tumpuan kepada sastera inggeris. Siapa tidak kenal dengan Georgetown Festival (pernah menyertai dalam sebuah fragmen persembahan) dan Georgetown Literary Festival yang setiap tahun dianjurkan, ia membawa aliran sastera inggeris dengan kuat hingga mengenepikan sastera Melayu yang sepatutnya menjadi ibu. 


Bakal diadakan pada 4 November 2017, mulai jam 4 petang hingga 11 malam, Festival Puitika Penang menghimpunkan barisan sasterawan, penyair terkenal, seniman, aktivis seni, pemuzik tersohor, pengkritik, penulis yang akan menampilkan karya-karya bukan sahaja dalam persembahan muzikalisasi puisi tetapi menyeluruh kepada perbincangan ilmiah dan akademia pada sebelah petang melalui edisi Puitikata. Prof, Lim Swee Tin, Anak Kayan, Shirley Idris, Azam Rais, Athan 6th Sense, Regina Ibrahim, Aina Nabila Ahmad, Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) bersama saya sendiri akan mempamerkan sebuah kualiti seni yang berbeza, terkini dan segar dalam usaha menyemarakkan sastera dan seni Malaysia. 

Ayuhlah, kata orang asyik di KL saja, kali ini di Penang - sambil berjalan pekena pasemboq, berfoto di dinding-dinding ikonik, kita santai dan memberi penghargaan kepada seniman belia dan sasterawan yang berjasa terhadap pembangunan pemikiran dan sosial negara. SAMPAI JUMPA oh ya IA PERCUMA!



| edit post

0 Reply to "PUITIS DALAM PUITIKA"