Seminggu selepas tamat aku sibuk sibuk ke sana ke mari, petang ahad begini baru aku ada beberapa waktu untuk duduk diam dan tulis sedikit sedikit perkara yang aku lalu. Kekadang hati dan akal aku kaku. Terlalu konsentrasi pada sisi menterkenalkan diri, bukan satu usaha yang ringan. Justeru sepanjang tempoh dua minggu lalu aku berhabis masa dipotretkan dan ditemubual tentang kerjaya seni dan sastera sebagai penulis, pemuisi dan penyanyi untuk Hero Remaja Pilihan - REMAJA. Kata tukang temubualnya; Shahir, nanti 15 Jun akan muncul di pasaran. Ah! Aku tidak sabar, menobrok sisi majalah komersial dari seorang penulis bahasa dan penyanyi lagu kepuisian adalah satu kejanggalan yang sudah sedikit sedikit dipecahkan ruyungnya. Moga nanti sagunya dimanfaatkan!
Jujurnya aku sungguh menjatuh cinta bila bila masa aku dipersimbah lampu bawah sorot cahaya. Belakangan ini aku diletakkan atas pentas pentas utama yang besar. Sudah lama aku tidak dimanja terang pacakan 'flash' dari orang orang yang datang. Justeru aku tidak tolak tolak untuk terima undangan persembahan apalagi pembacaan puisi yang keterlibatannya secara langsung dalam dunia kesusasteraan Melayu Malaysia.
Pun, acara persembahan showcase Numera Rai Kemala yang sebulan dua dulu dibisik oleh Sasterawan Negara Dato' Dr Ahmad Khamal Abdullah di bibir telinga, sudah jaya terlaksana. Malam 20 Mei lalu, di Rebung Bangsar yang ibarat tempat singgah Numera, dibarisi persembahan eksklusif dari SN Kemala yangd deklamasi beberapa puisinya dari kumpulan Ayn dan Mim, teraduk keanggunan biduanita Uji Rashid yang beri kejutan bawa Hail Amir yang sewaktu ditemukan di dewan utama, didakap Pak Kemala dan aku yang ada waja dendangkan Yang Aku Mahu bersama akustik Biar Bulan Bicara [yang sungguh sungguh dipinta sasterawati dari Indonesia - Sastri Bakry, sehari sebelum].
Yang Aku Mahu - LIVE @ Numera Rai Kemala
Yang dibikin Numera, memberi satu rasa aku rindu pada pengacaraan kesusasteraan yang terkeluar dari kebiasaan. Begitu banyak angan angan yang aku putik putikkan dalam akal tentang bahasa dan sastera Melayu. Yang mungkin kalau tidak didukung nama nama besar, aku belum boleh keluar benar. Seronok bila persembahan ahad lalu disambut baik oleh yang memenuhkan dewan utama.
Pun, beberapa acara lagi sedang dalam jadual aku untuk dilaksana. Yang Aku Mahu, akan aku baharukan muziknya jadi lebih segar. Bukanlah aku tidak suka pada yang sedia ada ini, cuma aku mahu jadikannya lebih Umar Uzair; jazzy campur akustik. Untuk yang rindukan naskah naskah buku, seperti aku rindukan waktu waktu duduk menyendiri menaip - dibawakan projek 'Cerpen Kocek Umar Uzair' yang terbahagi kepada tiga - Renungan Rembulan, Rindu Ramadhan dan Kerling Mataku.
Sesudah Sampai Mati (2010) dan Kumpulan Puisi Pascamoden - Di Mana Bulan Sorokkan (2011) yang sungguh menerjunkan nama aku dalam dunia penulisan, fikir aku harus terus terusan keluarkan karya, biar jarang jarang tapi dijaga kualitinya. Cerpen Kocek Umar Uzair berupa pengakuan aku yang serius dalam kecintaan bahasa dan sastera Melayu.
Bakal dilancarkan serentak nanti bersama single Yang Aku Mahu pada satu malam yang sedang aku atur, insyaAllah September 2012! Terima kasih untuk dukungan demi dukungan yang aku terima. Dari pemerhati, pengkritik, pencinta, penghebah nama, kumpulan media dan semuanya.
Sampai jumpa!
-UU
-UU
0 Reply to "Putik Jaya."
Leave a Comment