U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Aku Pulang, Nanti dan Lagi. (0)

Tuesday, June 05, 2012 by , under


Laut dan rimba belum pernah mematikan aku untuk tandang semula. Lebar biru dan tabur hijau pekat, biar ada bau bau tidak harum menusuk ke kalbu, ya; mereka tidak akan mengecewakan kedatangan aku. Pernah ada disuatu waktu dulu, aku berkenal dengan seseorang. Kerjanya membawa dia layar ke tengah laut dalam. Lalu disuatu masa dia berjanji mahu pimpin tangan aku ke dalam kapal kerjanya ke tengah laut. Bawa aku hirup panas dekat dek dek ceruk api yang mehebohkan kepuk asap. Korek korek harta bumi untuk dibuat manfaat seisinya. 


Tapi angan itu dibiar punah.

Semalam tanpa rencana, aku ke Tanjung Tuan. Laut lepasnya senyap tidak berombak. Geloranya bersepoi sepoi dan anginnya tersipu. Rata tapi indah. Enam tahun dulu, Tuan Komander di Kem Ayer Keroh Melaka pernah peribadi ajar aku tentang kayak tapi atas ekor sungai saja. Katanya aku pendayung yang bagus. Kumpulan kami bahkan hampir menang. Cuma antara ingat atau tidak - barangkali Bravo atau Alpha yang jadi juara. 

Itu cerita bertahun dulu yang aku kepit ketat ketat sisi buku akal. Di Tanjung Tuan, pantainya biru dungu. Aku kuatkan hati selepas enam tahun berkayak semula tapi kali ini atas undangan laut. Aku pilih untuk dayung jauh jauh ke tengah. Jauh dari sisir pantai, lalu diam di tengah. 

Aneh. 

Suara laut begitu sepi. Senyap dari bising bunyi kacau tanah bumi yang lekit dengan suara hon kereta dan omel manusia. Alam laut begitu damai mengerti hati aku yang dicucuk cucuk rasa pelbagai; kurang senang sebelumnya. Aneh; suara laut yang diam itu mendakap aku lalu jatuh cinta. Laut sungguh mempesona. Pekat matahari menyempurna. Lekuk lekuk laut yang bak gemerincing memain lagunya, aku dengar saja. Waktu aku dodoi dodoi laut dengan hujung jemari, aku senyum. Barangkali laut tahu aku betul menyayangi.

Benarlah, laut memang aneh. Terciptanya aneh. 

Dan laut belum pernah menjemukan, pasti aku datang lagi suatu waktu nanti. Malam itu aku pulang ke kampung dengan akal berjuta batu. Kerja kerja menyambung bedah naskah Renungan Rembulan & Sedengung Pasir Melambung [sebelum ini Khairy Armani] harus aku lekas habiskan untuk dihantar pada teman Prof Madya Dr Abdul Halim Ali untuk disemak sebelum dicetak!


Pantai Tanjung Tuan, PD
UU.



| edit post

0 Reply to "Aku Pulang, Nanti dan Lagi."