U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Berkibar Ekor Kobar! (0)

Tuesday, June 19, 2012 by , under

Tengah hari semalam saya diundang wakili NUMERA, sama Sasterawan Negara ke-11 - ke Muzakarah Pendidikan Kebangsaan di puncak Dewan Bahasa Pustaka. Pertemuan mata mata ilmuan dan tokoh perbahasaan dihimpun di meja bulat lonjong dalam Bilik Tun Perak menampakkan sisi ini bukan perkara main main. Sejak awal duduk kami di bangku kerusi empuk warna hitam, Dr Awang Sariyan sudah tegas dalam patah katanya; 

"Kita tidak ada matlamat lain dalam pertemuan ini selain menyatakan ketidakkompromian dalam Perkara 152..."

Yang belakangan ini bak kata Pak Kemala seakan perang saraf oleh gerakan tertentu dalam membolak balikkan bahasa Melayu yang menjadi Tuan di tanah Malaysia. Justeru saya di kerusi hujung didamping Prof. Senator Dato' Dr Firdaus Abdullah, mendengar bicara orang orang penting yang mengkehendaki agar Bahasa Malaysia yang ada dalam sistem pelajaran ditukar semula kepada Bahasa Melayu. Perkara ini sudah lama menarik perhatian aku. Sejak pertama dulu diwarkan. Pertukaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia memang dianggap satu jalan untung mendukung gagasan yang dibawa Perdana Menteri, tapi dalam tilam yang dicadarkan dengan blanket emas itu sebetulnya menggelorakan Bahasa Melayu yang selepas itu terang terang diremehkan. 

Aku begitu iya iya angguk kepala menyatakan persetujuan pada dasar yang dipaculkan oleh sasterawan negara Abdullah Hussein, yang kemudian disambung oleh Profesor Dato' Wira Abdul Latif yang keras sekali dalam hujahnya menolak pelawaan gerakan yang mengkehendaki agar sistem pendidikan di Malaysia diajar dalam Bahasa Inggeris. Nah! Inikan namanya sudahlah parah, boleh jadi barah!

Barangkali benar juga bahawa permintaan ini datang dari pelbagai bangsa termasuk Melayu, India apalagi Cina yang menurut aku - murtad bahasa. Mereka ini menolak bahasa Melayu yang menjadi tuan bahkan kata mereka; "Selesai UPSR atau PMR, kami akan hantar anak anak ke luar negara supaya mereka boleh menguasai bahasa Inggeris.."

Mengapa dalam kotak akal fikiran orang seperti ini begitu menjadikan Inggeris sebagai penting padahal kajian yang menyatakan hal itu juga ditolak oleh beratus profesor seluruh dunia. Persetan hal itu. Pokoknya begitu banyak yang dilontarkan oleh berpuluh yang datang semalam. Bahkan antara yang menarik perhatian saya lagi adalah betapa pengajar Bahasa Melayu di kebanyakan sekolah jenis kebangsaan diajar oleh masyarakat bukan penutur jati iaitu orang melayu tapi masyarakat dari bangsa lain. Dari sisi positifnya ini mungkin dianggap baik kerana menambah bilangan guru bahasa Melayu dikalangan bukan Melayu. Ironinya bila ada khabar khabar menusuk ke telinga aku - tenaga ajar atau guru Melayu diberi tekanan supaya mereka tidak mahu mengajar di sekolah Cina dan langsungnya diambil alih oleh mereka 100% untuk mengajar Bahasa Melayu yang sepastinya tidak akan disebarkan dengan baik (mungkin dipermudahkan, apalagi sambil lewa. Kebarangkalian itu pasti ada). 

Dan deretan usaha usaha memecah belahkan Bahasa Melayu sealur menggoncangkan kesatuan bangsanya dalam negara. Cukup perih dan membimbangkan.

Tapi ini bahkan mengobarkan hati saya untuk menghadiri himpunan pada 28 Jun 2012 - sebuah usaha dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama GAPENA dan seluruh badan bukan kerajaan bagi menyatakan hasrat tegang kami, menghulur memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Malayisa supaya tertampar hatinya bahawa Melayu di tanah sendiri ini sedang diinjak injak martabatnya. 

Ada yang katakan pada saya; "Selagi Malaysia ini aman, keluar rumah tiada peperangan, apalagi yang nak disoalkan..." 

Menurut saya itu betul, tapi kalau bukan orang orang baru seperti saya, seperti anda anda yang harus mendukung usaha ini, apa lagi yang mahu dianggap mustahil kalau benar Melayu hilang dari pandang dunia. Kasihan? Ya, kasihan. Keamanan memang keamanan, tapi budaya dan bangsa yang terkenal di Nusantara, kalau bukan di Malaysia, Brunei dan Indonesia mempertahankan, mana lagi?! 

Termasuk beberapa usul tentang tulisan jawi yang harus diperkembangkan lagi, selain aliran sastera disertaii juga oleh golongan sains dan vokasional. Saya begitu mahu bualkan di sini tapi, ah! Langit sudah hampir kelabu. Hujan rindu menabur peluru di tanah sendu. Saya cuma berhenti sekejap di tengah kota untuk melirik kata ini.Pun, baru pulang dari Klang Lama, duduk makan tengah hari tadi sama Pak Kemala. Dimintanya saya menyediakan sebuah teks untuk dimuatkan dalam memorandum NUMERA sebelum dimajukan kepada Dewan Bahasa.

Judulnya dibawah tulisan saya : Hubungan Seniman Dalam Perbahasaan Melayu. 

Molek! Saya sudah terlalu gersang meluahkan apa yang dikunci dalam peti kebal hati dan kepala tentang peradaan bahasa Melayu yang dirogol oleh pengkarya pengkarya dalam situasi muzik dan perfileman semasa, sekarang. Bahasa sudah dirojakkan. Perkataan perkataan yang usang dan rapuh makanya dijadikan tajuk padahal itu bukan sebahagian dari bahasa Melayu. Nah! Terima kasih ayahnda. Ini bukan cara untuk membuktikan saya bijak pandai atau apa, bahkan ini suatu yang berat dipikul bahu. Menulis dalam karangan akademikal adalah beza dari karangan kreatif yang ditunjangi saya. Tapi ini barangkali satu dari cara saya menyalurkan idea terus dengan jalan yang betul [Bukan berteriakkan di Dataran Merdeka!]

Bahkan Dato' Kemala tadi ada urakan, mungkin kita akan bukukan. Wah! Berkibar ekor kobar.

Beginilah saya sehari hari. Sibuk dengan  acara acara bahasa selain ya, persembahan persembahan tertutup. Awal Julai nanti saya diterbangkan ke malam Grandfinal Sumbar Talenta yang ke 8 di Teater Utama, Taman Budaya Padang, Indonesia. Bahkan jadi bintang utama, kata sasterawati Sastri Bakry yang juga penerima Anugerah Tun Teja dari kerajaan Melaka. 'Yang Aku Mahu' juga saya rangka untuk baharukan sisi melodinya untuk menampakkan lebih Umar Uzair; lebih melo, akustik dan dayu. 

 KLIK UNTUK BESARKAN

Untuk yang belum dapatkan REMAJA edisi Jun; ayuh serbu gedung buku. Dalam Hero Remaja, artikel tentang saya boleh di baca. Semoga saya mampu terus menobrok majalah kotemporari yang selama ini dominasi selebriti!

Sampai temu!



| edit post

0 Reply to "Berkibar Ekor Kobar!"