Langit barat terbentang warna kejinggaan. Timurnya sudah melabur laut membiru, berair. Ada ombak awan melata sana sini. Berselerakan. Burung-burung bersepah terbang pulang, petang. Angin sudah tak sepoi bak tadi. Hembus merdunya terganti sedikit kering dan tidak beralun. Deret-deret rumah batu yang tersergamnya indah satu-satu tepi kiri dan kanan taman tersohor pinggir metropilitan, melintas ke belakang waktu Maxz Chua pandu kereta dia di tengah-tengah jalan. Perlahan saja dia menekan minyak. Biar sebelah tangan tak lepas memegang stering tapi dua mata yang melekat azali di kepala tetap lebih senang perhati rumah-rumah besar yang mengkagumkan dia. "This is your first time, kan?" Khadijah bangkit dengan soalan, tiba-tiba bila dia lihat Maxz Chua tak senang duduk. Maxz Chua pandang Khadijah sekejap; "Apanya?" Maxz Chua tanya. "Hantar I sampai ke rumah..." Maxz Chua mengangguk dengan senyuman. "Even this is my first time sampai ke Baverly Heights..." Khadijah senyum juga. "I nak naik cab, you tak kasi. Kan dah susahkan you..." "Susah kenapa?" "Jauh-jauh hantar i balik, lepas tu nak patah balik semula ke Putrajaya..." "Im fine, Khad.." Maxz Chua menyinggah sekejap pada Khadijah yang di sebelah, memeluk fail. "Esok I dah boleh ambil kereta dekat workshop. Ingatkan tadi dah siap..." Khadijah membayangkan Impreza dia yang ditinggal di bengkel, sudah dua hari. "Simpang depan tu, you masuk kiri..." Khadijah mengingatkan Maxz Chua sebelum sampai simpang pecah empat di depan. "Tak apa... awak nak saya hantar awak hari-hari pun, tak apa.." "Bukanlah macam tu... I thought Laila free today sebab since last two days, dia yang hantarkan i ke rumah. Hari ni siang-siang dia dah kena balik, boyfriend dia ajak berbuka sekali..." "Hadi?" Khadijah angguk kepala. "Dah balik dari Boston?" Khadijah angguk lagi. "Laila dah ada, habis awak, bila?" Maxz Chua bertanya waktu stering keretanya membelok ke kiri. Khadijah kerutkan dahi sedikit. "Bila, apa?" "Bila lagi nak ada boyfriend?" "Kenapa?" Khadijah tergelak dan bertanya. "Nanti boleh hantar awak balik, hari-hari. Tak susah nak balik sendiri..." Khadijah belum henti tersengih. "Ya lah, nanti I cari. Tak payah you hantar I balik lagi..." "So since saya yang dah hantar, saya saja jadi boyfriend awak..." seloroh Maxz Chua bikin dada Khadijah berombak tak semena. Biar serasa dia lelaki itu hanya usik berkata, tapi pandangan mata yang tersorot sekejap tadi jadi dia tak selesa. Khadijah senyum juga, sembunyikan rasa. "Ada je lah you.. there ada pokok mangga situ, you berhenti. "Maxz Chua nampak pohon mangga tegak ke langit di dalam laman sebuah rumah. Maxz Chua berhentikan kereta perlahan-lahan di tepi sang ketapang yang dipacak di depan, luar pagar rumah. "Woah.. ni rumah atau istana?" Maxz Chua mengusik pada Khadijah. "Sudah.. stop teasing me..." Maxz Chua senyum, panjang sedikit kali ni. "Thank you, hantar I balik sampai sini. Esok kita jumpa di office..." Maxz Chua dengar patah kata Khadijah dengan bibir tergerak-gerak seperti mahu katakan sesuatu tapi tak keluar. Khadijah sudah mahu-mahu membuka pintu kereta; "Ermh.. kejap.." Khadijah menoleh tapi tak bertanya. "Tak mahu ajak saya berbuka sekali?" Maxz Chua angkat dua keningnya, memandang; merayu. Sengaja dia buang jauh-jauh rasa malu untuk katakan ayat tadi. Entah disambut entah tidak. "Maxz... bukan tak mahu ajak.. tapi nanti apa family I cakap..." "Cakap apa?" "Lah, you bukannya faham..." Maxz Chua tersandar di empuk kerusi; "Sampai hati tinggalkan saya makan seorang..." merajuk nada dia bikin Khadijah serba salah. Nak ditinggalkan, tak bagus pula. Mahu di ajak, tak manis juga. "Macamlah you tak pernah berbuka seorang..." "Sebab saya dah selalu berbuka seoranglah, saya nak rasa berbuka ramai-ramai, dengan keluarga, macam kamu..." "Maxz... not today, ok? We set another time. Kita buka ramai-ramai di luar... ya?" Khadijah tak tunggu untuk membuka pintu kereta. Bukanlah dia mahu tinggalkan lelaki cina ini sendiri tapi betul, dia tak biasa membawa pulang lelaki. Maxz Chua tak puas hati. Cepat-cepat dia tanggalkan seat belt seraya menolak pintu kereta, dan keluar. Hajatnya masih satu, dan serupa. "Khad.. Bolehlah..." Maxz Chua rayu lagi. Entahlah kenapa dia jadi bersungguh-sungguh. Alang-alang sudah sampai di depan rumah, apa salahnya? Maxz Chua bisik dalam hati. Khadijah terhenti di pintu pagar besar yang masih tak terbuka, bola matanya tegak memandang Maxz Chua dengan rasa berbelah bagi. Apa saja tiba-tiba gila lelaki ni datang petang-petang, hari ni? Terkocak laut fikiran dia. Buntu. "Deja! Apa lagi tu? Mari cepat, dekat waktu buka ni..." terjengul ibu di pintu rumah, dalam, tiba-tiba bikin Khadijah makin tak senang. "Sekejap!" Khadijah tertoleh pada ibu yang di belakang sebelum memandang apa yang tertinggal di depan mata, belum pulang. "Maxz.. tommorow ya? Please..." "Siapa tu?!" si ibu bertanya. Maxz Chua angkat tangan pada si ibu, seraya dilambai-lambaikan tangan kanannya. "Maxz! Apa you ni?" berbisik suara Khadijah tapi tegas dengarnya; "My mum dah panggil I masuk..." "Deja! Cepat, ajak kawan masuk sekali, buka sama..." patah-patah kata ibu membajakan bunga pada hati Maxz Chua. "But, Bu..." "Masuk aja. Ayahnya dah panggil..." Khadijah tengok Ibu yang sudah hilang dari pintu. Khadijah memandang Maxz Chua, diam dan sedikit geram. Maxz Chua meleret dengan senyuman penuh usikkan. Lucu barangkali. Alarm kereta dibunyikan, kunci. Lalu Maxz Chua melintas Khadijah dengan ayat; "Saya menang.. satu, kosong..." "Pandailah you..." Hening senja itu temankan dua manusia menapak masuk ke dalam rumah. Meliar mata Maxz Chua pandang sana sini waktu kaki dia langkah masuk ke laman rumah. Masih tetap di belakang Khadijah, dia terpesona dengan rona hijau yang melatar dinding banglo besar ini. Sejuk biar lampu besar yang tergantung di tengah laman utama ruang tamu sedikit silau. "Duduklah..." Khadijah menjemput sebelum dia tinggalkan Maxz Chua di situ, untuk ke dapur terus. Tas tangan dan fail yang di peluk tadi sudah dia tinggalkan atas meja di sisi ruang. Maxz Chua tak tunggu lama, dia labuhkan punggung atas sofa yang terhidang sebelum mata dia melata lagi. Pandangan dia kosong, belum ternampak bayang ibu Khadijah yang dilambai dia, tadi. Apalagi ayah wanita ini. Berdebar tak disangka. Sekejap-sekejap dia betulkan dudukkan. Sekejap-sekejap dia menyeka rambut yang tak panjang. "Apa yang tak kenanya?" tegur Ibu Khadijah yang sudah ada di meja makan, membawa bekas nasi seraya di letak di tengah situ. Maxz Chua memandang dengan senyum, lagi. "Tak ada apa, auntie.." "Kalau tak selesa, mari duduk sini ja, sambil tunggu waktu..." ajak Ibu Khadijah. "Eh, tak.. tak apa.. tunggu semua sekali, nanti.." malu-malu dan lambat-lambat Maxz Chua menolak pelawa Ibu Khadijah. Khadijah sedang keluar dari dapur waktu ayahnya muncul tiba-tiba dari atas ke bawah, di tangga. Tegak mata Maxz Chua memandang lelaki berusia itu dengan akal berombak. Serasa dia kenal figura yang sedang dia tatap itu. Maxz Chua berdiri, kakinya berjalan sedikit. "Dato' Umar...?" Khadijah menjeling sesaat. Dia tak hairan kalau-kalau Maxz Chua sudah kenal pada ayahnya. Dan dia juga tak kekok kalau-kalau ayahya juga pernah kenal Maxz Chua. Si ayah anggukkan kepala. "Dah lama sampai?" Dato' Umar tanya selepas tangan yang tersangkut dua lelaki itu, dilepaskan. "Baru ja, dato'..." "Dekat luar boleh panggil dato'. Dalam rumah tak pegang title. Panggil uncle, ja..." garau suara lelaki separuh abad itu menyuruh. Biar nadanya paling ringkas. "Oh.. ya, baru ja, uncle..." Maxz Chua masih berdiri. Sekejap dia ngerling pada Khadijah yang menatang dulang. Isinya ada dua tiga mangkuk berlauk. Berdebar hati dia. Sudah bertahun juga dia mengenali Khadijah tapi sampai tadi dia tak tahu pula wanita ini rupanya anak perempuan kepada Dato' Umar. Ya, Dato' Umar, pengusaha tangki kapal besar di perlabuhan yang pernah bekerjasama dengan dia untuk projek pengiklanan bulan merdeka tahun sebelumnya dan projek mewah untuk ulang tahun syarikat itu. Ah! Segan pula jadinya! Mahu rasa di angkat kaki dia, pulang. "Saya tak tahu, awak berkawan dengan Deja..." Dato' Umar tanya. "Kawan pejabat ja, ayah..." Khadijah tolong jawab dari belakang. Takut juga dia kalau-kalau lelaki itu keluar dengan jawapan lain. "Setahu saya, kamu Chinese, kan?" Maxz Chua angguk lagi; "Ya..." "Muslim Chinese?" Dato' Umar tak pasti. "Erm tak.. bukan.." Maxz Chua tergantungkan ayat. Tak tahu menghabiskan. "Dia sebok nak berpuasa, Yah..." Khadijah tambah perisa lagi dalam bualnya. Dato' Umar angkat dua kening. "Sejak bila puasa?" "Baru-baru belajar, uncle..." "Cina ke?" tiba-tiba Ibu Khadijah menegur sebelum menyambung; "Tak nampak macam orang Cina pun? Namanya apa?" "Maxz Chua... panggil Maxz aja, auntie..." "Boleh tahan ke?" tanya Dato' Umar lagi, menduga. "Sudah seminggu, pun..." kali ini Maxz Chua jawab..." "Bagus... kuat..." Dato' Umar mengusik bikin Maxz Chua tertunduk-tunduk sebelum datang lagi soalan lain, "Keluarganya tahu, awak puasa?" "Tahu, dia orang tak kesah.. ayah saya biasa berpuasa..." "Oh.. bagusnya.." "Ayah guru pesara. Kawan-kawan dia semua banyak yang Melayu, dari bangsa sendiri. Terikut-ikut.. Saya pun nak cuba-cuba.. Cuma ayah sudah tak duduk di sini. Hari-hari berbuka seorang, tak syok lah uncle..." ayat Maxz Chua bersahaja tapi nadanya elok sekali. Patah-patah ayatnya keluar satu-satu. "Oh... baguslah... kalau macam tu, boleh berbuka sini hari-hari.." Dato' Umar tak henti mengusik. "Rafidah mana?" Khadijah teringatkan adiknya yang seorang, belum nampak muka. "Tadi baru balik dari mana, entah. Terus naik atas, mandi agaknya..." Ibu Khadijah jawab sendiri. Belum pun sampai seminit dikata, tangga kayu solid terdengar dipijak-pijak. "Dah siap pun!" halus suara gadis sunti belasan tahun yang satu lagi, terjerit dari atas, belum pun sampai ke bawah. "Jangan meloncat-loncat! Nanti jatuh.." Dato' Umar pesan. Rafidah menampakkan muka di pintu tangga. Rambutnya ikal, masih basah. Tubuhnya tersarung batik indah warna merah pekat, longgar. Matanya tertampar pada Maxz Chua yang memandang. "Eh? Kak Deja ada boyfriend baru?" giliran Rafidah mencelah dengan usikkan. Khadijah tak lalu menjawab. Maxz Chua tak reti membalas. "Kawan saja, katanya..." Dato' Umar yang tiba-tiba menyampuk jadi tukang jawab bikin Maxz Chua lirikkan senyum lagi pada Rafidah yang sudah memeluk bahu kerusi makan. "Boyfriend Kak Deja semua hemsem-hemsem. Mana ci..." Rafidah belum terhenti. Khadijah yang disebelahnya seraya mencuit pinggul Rafidah. Mengaduh dia. "Dah.. mari, kita duduk sini ja, tunggu-tunggu waktu buka..." Maxz Chua menuruti Dato' Umar ke laman makan. Langkahkan lambat-lambat penuh kekok di hadapan manusia yang tak berapa dikenal dia. Maxz Chua di suruh duduk di kerusi tengah hujung, biar tak disuruh zahir. "Lauk-lauk orang Melayu aja, Maxz..." Ibu Khadijah menyapa. "Tak apa, auntie.. dah biasa.. kalau balik ke kampung pun, mak masak serupa. Kalau tak ada sambal belacan, kadang-kadang kalau tak ada gulai lemak, tak sah!" Maxz Chua buka cerita sedikit waktu sebelah tangan kanan terima sepinggan nasi putih yang di hulur Khadijah. "Ini ada pengat ikan merah, makan?" Ibu Khadijah tanya. "Pengat? Tak pernah dengar..." "Kenalah rasa my mum punya pengat. Pedas! Berpeluh you nanti.. macam kena mandi.." Khadijah kata dengan ayat seloroh. "Makan pedas, Maxz?" Ibu Khadijah tanya lagi. "Saya makan pedas. Tak jaga suara..." Maxz Chua menjawab. "Uncle yang suka makan pengat ni. Baru dua hari lepas makan, hari ni disuruh masak lagi.." "Kalau bukan auntie, siapa lagi nak masak?" ayat Maxz Chua bikin Dato' Umar tersengih. Ada anggukkan kecil terteman, setuju dengan ayat itu. Gema azan manghrib mengejutkan naluri satu-satu milik mereka yang mendengar. Empat dari lima yang terduduk di meja, tadah tangan ke langit, berdoa sebelum dua jari mengambil kurma lalu dijamah. Rafidah sudah menjamah lemak nangka dengan nasi. Khadijah memuncung bibir, menghirup soya. Maxz Chua mengerling mata pada gadis di sebelah kanan pandangan dia. Berlari-lari anak mata hitam Khadijah, tak senang diperhati. "Kasi pengat ikan tu, Deja..." Ibu Khadijah menyuruh tak semena. Khadijah capai sudu kuah, dia korek sedikit isi pengat ikan merah, diletak molek atas pinggan Maxz Chua yang masih belum terisi lauk. Maxz Chua tersenyum memerhati. Jiwanya berbunga, mekar sekali. Bahagia dilayan wanita idaman hati. Tiga empat jemari kasar Maxz Chua yang masih basah dicuci, bergaul antara nasi dan pengat ikan, dia jamah sedikit. Lidah terasa membahang lalu dia membulat mata. Khadijah sudah tersengih. "Macam mana?" Rafidah yang bertanya. "Boleh jual ni, auntie..." Pecah ketawa empat mereka. Suka dengar ayat lelaki cina yang pertama kali jejakkan kaki ke sini, datang meriahkan suasana berbuka puasa yang jarang-jarang kali terasa. Dato' Umar dan Ibu Khadijah sudah tenggelam dengan kesedapan pengat ikan. Rafidah juga dilihatnya berselera tak hiraukan siapa-siapa. Lalu Maxz Chua alihkan anak mata pada Khadijah. Maka tersangkutlah empat mata. Sesaat tapi bagai selama tahun rasanya berpandangan. Laju-laju perempuan itu tarik anak mata ke tempat lain tapi bibir mengengsot, antara senyum suka atau tersipu, malu...
3 Reply to "Babak Tiga"
Anonymous on September 17, 2009 at 9:01 PM
dah baca 2nd and 3rd episode sekali, best best.. i like...i tgh perasan jadi MAX ni hahah.. best nyer dpt awek mcm KHADIJAH.. - bro JJ
D' on September 18, 2009 at 9:41 PM
almost perfect...
Unknown on February 2, 2010 at 4:46 PM
liker it so much.....
ade sambungan ke
Leave a Comment