U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Warna Stigma Bahasaku. (0)

Monday, October 10, 2016 by , under



Apakah masih ramai yang merasai kehadiran Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan? Atau sepi ditiup angin dari bambu yang rimbun? 2016, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) hadir dengan sejuta bunyi cengkerik malam. Sebagai aktivis bahasa dan seni, hal ini sesuatu yang menyedihkan kerana usaha memperkasakan Bahasa Melayu menjadi semakin lemah dengan kehadiran program dwibahasa (Dual Langange Programme) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Sebagai seorang belia yang aktif dengan kehidupan sosial 2017 yang bakal datang, aku ingin melihat perkembangan hebahan dan promosi BBK bukan cuma melalui sayembara dan pertandingan deklamasi puisi. Meski acara ini sesuatu yang menghidupkan, industri seni bahasa memerlukan sesuatu yang lebih terkini dan kreatif. Seperti jelajah semakkan papan tanda, kempen di sosial media yang meluas. Lantik ikon dari kalangan seniman yang aktif dan selebriti yang dapat mengapresiasi bahasa. Perkumpulan belia dan masyarakat dengan acara kebahasaan. Kalaupun pertandingan sayembara dan deklamasi diadakan, wujudkan kerjasama yang rapat dengan badan tertentu dan siaran tv atau radio.  

Sayang sekali, apakah kerana batasan tenaga kerja yang kritis atau dana yang sempit. Kedua-duanya seperti saling membantu kepada pembantutan ini. Aku melihat beberapa sahabat yang dekat memeriahkan BBK dengan penganjuran teater dan pementasan. Itu murni. Aku melihat sahabat menjayakan program seni di beberapa buah acara, itu juga murni tetapi bahangnya hanya sampai kepada persekitaran yang kecil. 

BBK tahun ini ditenggelamkan dengan Hari Sukan Negara yang hebat disambut pada hujung minggu lalu di banyak tempat terutama di Dataran Merdeka dan sekitar Kuala Lumpur. Kementerian Belia dan Sukan amat positif dan mendukung usaha menyatukan rakyat dengan hal-hal kesihatan. Rungutanku adalah apabila judul besar Hari Sukan Negara dalam bahasa kebangsaan hanyalah alat atau 'bantal yang disorongkan' agar bahasa Inggeris mendapat lampu hijau untuk digunakan dalam pecahan perkara atau judul yang sebenarnya mendominasi acara ini. 

Ini hanya satu dari banyak program lain yang melakukan hal serupa. 

Bahasa kebangsaan sewajarnya tidak perlu diraikan dalam sesebuah bulan, kerana telah termaktub dalam perlembagaan. Sedangkan Indonesia juga mentertawakan kita, setelah hampir 60 tahun merdeka, Malaysia masih membincangkan soal pemartabatan bahasa Melayu dan berperang dengan bahasa lain. Padahal di Indonesia ia telah memuktamadkan sejak hari pertama negara itu mendakap kemerdekaan. Ini yang dicakapkan sewaktu aku menghadiri sebuah simposium di Jakarta beberapa waktu yang lalu. 

Tidak juga aku salahkan para Sasterawan Negara dan ketua badan berwajib yang masih duduk di balik meja mesyuarat, kertas kerja demi kertas kerja untuk simposium demi simposium. Barangkali mereka ada pendapat dan gaya sendiri. Sekarang sudah 2016, penggayaan harus lebih deras dan maju. 



Oktober telah berbaki 20 hari. Sebagai aktivis, aku ada cita-cita yang besar samada dalam penganjuran acara dalam bentuk pendidikan dan hiburan bahasa, samada dalam promosi dan hebahan. Hanya sumber dana dan tenaga kerja yang membataskan. Pun, ini bukan pematah semangat. Tidak banyak, sedikit aku ingin melakukan sesuatu. Selain poster Bulan Bahasa Kebangsaan untuk dipromosikan, beberapa temubual dan siaran akhbar sedang diatur untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang apresiasi terhadap bahasa kebangsaan. 

Masih kecil, aku harap suatu waktu dapat menghimpunkan ramai pencinta bahasa di tengah kota!



| edit post

0 Reply to "Warna Stigma Bahasaku."