U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Selejang Terbang (0)

Monday, August 05, 2013 by , under

Memang tampaknya aku sedikit mengabaikan tempat yang selalu menjadi persinggahan dan tempat yang mempersirat hubungan aku dengan para pendukung. Ya, sini. Bukan kerana membiarkan, jauh sekali tidak punya isi untuk ditulis. Justeru kerana kesibukan yang berbolak balik, aku tidak punya waktu untuk duduk diam dengan lama di hadapan skrin dan menaip. Sejak Aidilfitri membawa ke jelajah besar di Jakarta, Indonesia yang menempa kenangan yang mustahil diabaikan sehinggalah ke undangan yang berpeleseran belakangan ini. Pun, dengan terjayanya persembahan di The Actor Studio, Lot 10, KL yang membuka selejang jalan lain dalam dunia persembahan. 



Aku mulakan dengan paling terkini, undangan sebagai bintang tamu di Men's Fashion Runway 2013 di The Actor Studio lewat dinihari senja 22 September lalu adalah manis. Memang dasarnya aku di dalam dunia penulisan, sastera dan susastera yang kebanyankannya menilai seniman dalam bidang ini asing sekali kalau mahu bual tentang fesyen. Nah, aku terkeluar dari babak itu. Tentu, aku tidak mahu terhadkan sisi keunikan ini cuma atas selembar kertas. Seniman hari ini harus lebih berani meneroka. Justeru selain penerokaan yang berterusan dalam bidang kepengarangan, aku membedah dunia seni muzik dan sekali sekala aku menyelami dunia fesyen khususnya bila perkembangan dunia fesyen lelaki hari ini begitu baik di Malaysia. Dalam penampilan malam itu aku menunaikan hasrat hati yang mahu dendang Unbreak My Heart dalam versi Il Divo sehabis Fly Me To The Moon. Ternyata dunia fesyen lelaki di Malaysia sudah berkembang dengan kemas dan baik sesuai citarasa lelaki kota yang belakangan ini berputik dan bercambah. 



Delegasi di Fadli Zon Library. 
Sebuah perpustakaan yang megah di celah kesesakan kota Jakarta yang macet!






Begitu memasak rinduku pada kerjaya penulisan asbab kesibukan menjadi aktivis sastera; menggerakkan pelbagai ragam program kesusasteraan di dalam negara, ayahnda Sasterawan Negara Dato' Dr. Kemala menarik semula aku ke akar yang selama ini menunjangi kerjaya. Barangkali memang ada yang sudah maklum tentang undangan yang terutus buat aku untuk menulis kertas kerja sempena Seminar Sastera Internasional Numeraa atau Diskusi Sastra di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. 

Nah, sewaktu diusulkan aku tak lekas memikir panjang kerana dua perkara; Taman Ismail Marzuki, Jakarta dan persoalan yang dibedah tentang Ziana Zain. Ah! Manakan boleh aku menolak untuk membedah karya seorang biduanita yang cukup dikagumi seantero negara. Diterbangkan ke Jakarta selama tiga hari bermula 28 Ogos sehingga 30 Ogos 2013 bagi menyempurnakan beberapa agenda. Tambah manis apabila setibanya di Salihara, seakan penghormatan dipinta uji vokal di dua tempat iaitu Teater Atap dan Studio Muzik Salihara yang berdinding kayu melantunkan vokal ke sebucu ruang. Salihara ialah sebuah gedung sehenti untuk mempersembahkan seni budaya di Indonesia samada dalam bidang muzik, seni teater dan penulisan. Ia semacam mini ASWARA cuma dalam suasana yang lebih asyik dan santai.

Pokoknya tentang menjadi seorang dari sembilan panel ulung dalam seminar sehari itu dan judul kertas kerjaku 'Rupawangi Melayu dalam Lagu Ziana Zain dan Dato' Siti Nurhaliza' paling mengujakan. Sebetulnya ini tanggungjawab yang berat kerana aku bukan saja harus menelitinya dari aspek kepengarangan penulisan lirik tetapi menjangkaui nilai estetika sesebuah lagu. 

Baca Puisi Reboan Numera diadakan di tempat yang sama. Menurut SN Kemala, Reboan yang berakar dari kata rebo atau di Malaysia dipanggil rabu (hari) merupakan gelanggang besar yang menghimpunkan seisi sasterawan ulung dari Indonesia. NUMERA Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengadakan sebuah pembacaan puisi selangsungnya sebagai mengakrabi persahabatan kesusasteraan dan budaya dua negara besar di Nusantara Melayu. 


UU sebagai pembedah karya sisi Dr. Adi Yasran & Tengku Mira di Seminar Sastera Internasional NUMERA - PDS. H.B. Jassin, Jakarta

Sekilas tentang Taman Ismail Marzuki, ia adalah sebuah pusat kebudayaan utama di Indonesia yang berpusat di Jakarta. Persis Istana Budaya yang menunjangi aktiviti kesenian, kebudayaan Melayu. Ini yang mencambahkan keterujaan saya kerana bakal beraksi pada malam pertama di sana di atas sebuah pentas ulung Indonesia. Pengacaraan sebegini yang seharusnya dipandang utama oleh media dan pemerhati budaya seni kedua negara untuk diwar-warkan kerana keakraban ini tidakkan terputus kerana dua negara ini saling menikahi nilai bangsa, budaya dan bahasanya. 

Sayangnya masa-masa di kota Jakarta adalah cukup sempit. Semuanya terisi dengan program demi program yang tidak menyempatkan aku untuk menghayati kota ini. Pasti aku akan datang lagi!

Sebuah lagi khabar yang menuruti, kepada yang mengingati persembahan Sensasi Akustik Umar Uzair yang jaya terlangsung Jun lalu, sudah boleh ditontoni. Persembahan skala sederhana ini bukan kayu ukur kehebatan saya yang menghijau tapi dari kesederhanaan ini membawa pengalaman yang mendewasakan di atas pentas apalagi beraksi solo apalagi dalam iringan 100% muzik tradisional. Klip deretan 11 lagu yang sudah dikompilasikan ini adalah sebahagian dari persembahan lebih sejam yang direncana akan didvdkan sebelum dilancarkan pada suatu waktu. Masih sedang saya kira-kira. Sandar dan tontonlah.




Takzim.
UU.



| edit post

0 Reply to "Selejang Terbang"