U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Menyorot Sensasi Jun (0)

Wednesday, June 19, 2013 by , under


Mengusahakan sebuah persembahan solo dalam sisi muzik tradisional dan kepuisian di tengah lambakkan pengaruh muzik moden dan indie menghendaki pengusahanya harus bersifat lebih dari sekadar gratis; ketegaran. Pun, persembahan tradisi masih banyak dianjurkan menerusi fragmen teater dan tarian di banyak gedung pementasan di dalam negara. Dalam keramaian itu persembahan muzik nyanyian yang khusus adalah antara yang lompong belakangan ini.



Sensasi Akustik Umar Uzair misalnya baru-baru ini diadakan di Dewan Bankuet, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bersempena menyambut ulangtahun ke-57 Dewan Bahasa dan Pustaka. Acara dirancangkan sendiri oleh saya bersama Youth Beat Event Management dengan kerjasama NUMERA Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan DBP mempertontonkan sebuah persembahan dalam deret lelagu tradisional, kepusian dan soul pop. 

Sepanjang sejam persembahan diiringi kumpulan tradisi Sri Kenchana, saya membawakan rantaian 10 buah lagu. Cindai sebagai pembuka panggung sebelum diteruskan dengan Mohon Kasih, Setiaku Di Sini, Keroncong Kasih, Belaian Jiwa, Biar Bulan Bicata sebelum ditutup dengan lagu jazz Jerat selain menyampaikan single Yang Aku Mahu dan berduet dalam lagu Pandang-pandang Jeling-Jeling & Jangan Ada Dusta Di Antara Kita bersama bintang tamu yang tersohor melalui naskah pementasan Nyonya & The Gang; Mardiana Alwi. Perawan ini seorang kenalan dekat yang selalu bersama dalam beberapa hasil kolobrasi sebelum ini. Secara peribadi memilihnya kerana kami saling mendaki industri seni. Banyak naskah lakonannya begitu bagus berbanding ramai pelakon yang sedang popular dengan gosip melata. Paling baharu dan terkesan pada saya ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Malam itu dia turut mendendang Laksamana Raja Di Laut yang menggamit rasa. 




Gratisnya persembahan yang saya bawa ini adalah kesemua lagu telah dipersembahkan dalam muzik tradisional Melayu walau terdapat muzik asalnya bermelodikan soul, pop dan jazz pada beberapa lagu. Pilihan lagu-lagu Melayu klasik dan terkini cuba saya terjemahkan sebagai perlambangan seni penulisan puisi yang kukuh dan selamanya hijau dalam alam kepengarangan saya sebagai seorang penulis. Cindai, Mohon Kasih dan Setiaku Di Sini umpamanya mengungguli sebuah naskah kepuisian dan penulisan Melayu yang harus diperhalusi ramai pengarang baharu. 

Walaupun agenda asalnya sasterawan Perak, Malim Ghozali PK disebut sebagai seorang lagi bintang tamu dalam pendeklamasian puisi, Pak Malim tidak dapat hadir kerana kesihatan yang membataskan, saya diberi kejutan dengan kehadiran penyair terkenal Ahmad Sarju yang mendeklamasikan sebuah puisi karangannya yang dituju khas buat saya dalam judul Ku Kira yang baitnya; 

Ku Kira
Kau anak muda yang tampan
Bersusila, berbudi, berjiwa mampan
Pasti kau mampu memetik bintang
Memaut kukuh warna pelangi
Kerana kau juga pengukis puisi
Dengan melodi indah dan berseri

Ku kira
Ragam gerakmu telah terpancar
Di bawah cahaya yang begemerlapan
Segala rintangan telah kau lalui
Segala resah telah kau lalui
Segala cabaran telah kau atasi
Dalam lembut mu kau lonjakkan diri
Dalam getar puisi kau bentuk peribadi
Cekal kental dan berwawasan tinggi

Ku kira
Kau tak akan undur lagi
Pelangi dan bintang telah kau hampiri
Alun gelombang telah kau layari
Tutur lidah telah kau permolek
Alunan merdu mu mampu mengusik
Seri gaya menghimpun kesegaran
Malam ini kau di puncak gemilang
Dalam tepuk tangan berulang-ulang
Aku tak menyembunyikan kekaguman
Kepada mu bintang perwaris zaman


Ahmad Sarju dalam Ku Kira

Aduh! Sepanjang banyak waktu itu saya cuma mampu tersenyum dan mengangguk bila patah-patah puisi ini dibacakan kepada saya di hadapan khayalak. Ini cukup manis. Tambah menggemerlapkan malam itu tentunya kehadiran ayahnda yang cukup saya kasihi, Sasterawan Negara ke-11 Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah atau tersohor dengan namanya Kemala yang menitip ucapan penutupan pada selesai acara. Air mata sudah tak tertumpah mendengar begitu kukuh dukungannya buat saya. Dialah tulang belakang kepada banyak usaha seni budaya, banyak pesan-pesannya supaya menjaga seni leluhur menjadi kekuatan saya dalam industri sastera dan muzik. 

Kata ayahnda SN "Hampir menggapai penghibur pro". Saya senyum. Semoga saja! 

Sebagai artisan baharu yang memperjuangkan seni bangsa Melayu yang unggul, biar pada malam itu saya tampil dalam persembahan yang sederhana sesuai usia pembabitan tetapi dibawakan dengan semangat keTuanan Melayu dan berupa titik mula yang menguatkan saya dalam memurnikan penyambungan akar leluhur. Beberapa waktu sebelum puasa kelmarin, saya duduk-duduk mengopi di Melawati dalam alun ribut petang bersama penulis lirik terkenal yang banyak menulis lagu-lagu tradisional antaranya Cindai, Balqis, Awallah Dondang, Hati Kama dan beberapa lagu besar lain, dititipnya banyak pesanan dan lelagu yang tidak terkilas dalam pemikiran untuk dibawakan. Nah, justeru saya berkira-kira. Barangkali sebuah lagu pada penghujun tahun?

***

Sebelum Sensasi Akustik Umar Uzair, seminggu sebelumnya saya diterbangkan ke Penang sempena Geogetown Festival 2013. Pengalaman manis ini didakapi setelah menerima undangan dari aktor tersohor Singapura; Rafaat Hamzah dengan berlapang depa. Di dalam fragmen kumpulan seninya Suara Dari Muara; sebuah kumpulan seni pimpinan aktor ini terdiri dari 11 aktivis seni budaya yang menyorot lapangan di dalamnya; kepuisian, tari dan muzik dicantum menjadi satu persembahan yang bertenaga selama sejam. SDM sebelum ini pernah dibentangkan karyanya di Esplanade, Singapura sebelum disertai saya. Ini pengalaman sulung saya yang seumpama, kecanggungan sewaktu pertama kali mengikut serta pada sesi latihan sebulan sebelum rupanya tidak mematahkan. Justeru selama tiga malam persembahan di Sekeping Victoria bucu kota pulau itu, saya hadir dengan seribu rasa yang membakar. 


China House, Sekeping Victoria, Penang.




UU dalam beberapa penampilan di Causeway Exchange, Georgetown Festival, Penang. 
(Bawah) Rafaat Hamzah, Joe Sidek (Pengasas Georgetown Festival) & 
UU pada majlis makan, petang penutupan.


Dalam pemikiran, persembahan seunik ini tidak harus disimpan cuma menjadi tontonan khayalak tertentu. Saya merencana membawanya di sebuah pentas yang lebih besar di Kuala Lumpur, suatu waktu. KL Pac, Actor Studio atau Lambang Sari Istana Budaya juga tak jadi masalah. 

Begitulah Jun yang begitu berat dilepas pergi..
UU. 



| edit post

0 Reply to "Menyorot Sensasi Jun"