U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Sebuah Lagi Minggu. (0)

Sunday, June 02, 2013 by , under

Mujur ada ruang seminggu untuk aku rehat usai beberapa waktu asyik ke sana ke mari menyusun acara itu ini. Padang masa yang sebesar itu aku simpan buat bersenggang cuma di rumah. Pun, asbab sudah terlalu selalu di jalan luar, baru beberapa waktu diam di rumah punggung dah tak duduk diam. Tetap berusaha untuk melaku aktiviti.  Ya, kekadang berhabis masa di panggung tengok filem baharu. Aku singgah tonton dua filem; Star Trek, Fast & Furious 6 dan Iron Man. Aku tidak terpesona dengan kehebatan CGI Iron Man dan lambungan kereta-kereta besar F&F6. Naskahnya terlalu mudah dan kesan gaduh-gaduh juga sedikit. F&F6 menurut aku sudah mengenepikan tema asalnya tentang seni kereta kali ini lebih memudahkan plot dengan cerita klise Hollywood: polis mengejar penjenayah. Barangkali kehabisan idea haa tapi Star Trek mengujakan! Suasana di angkasa lepas dibawa dalam rasa asyik. Aku mahu tonton lagi tapi nanti dengan 3 Dimensi pula. 

Cuma rasa aku kalau dalam lingkup ruang filem begini aku tetap memilih Batman : The Dark Night Rises (2012) sebagai sang juara. Motornya menjadi igauan!



UU & budayanita bonda Siti Zainon Ismail usai acara.

Sehari sebelum aku pulang ke Singapura, undangan ke Anugerah Sastera Negara di Royal Chulan menjadi persinggahan. Dalam sisi fesyen, aku meneroboh lagi dengan memakai tanjak Temenggung setelah beberapa kali dipesan bonda Siti Zainon supaya menata penampilan dengan sempurna. Tentulah aku tak malu-malu dalam ribuan tetamu yang hadir, cuma aku menyarung tanjak. Ya sebagai membudayakan budaya. Tanjak tidaklah asing dalam gaya pemakaian lelaki Melayu cuma aku yang mahukan kelainan memakai semacam turban lelaki. Justeru aku hadir ke butik pereka busana Melayu tersohor; Salikin Sidek di Ampang Park meminta khidmat pembantunya menolong aku. Terima kasih Salikin Sidek atas kerjasama yang murni. 

Memang aku merencana adakan kolobrasi bersama Salikin Sidek untuk persembahan rasmi yang mendatang cuma tunggu waktu yang lebih terluang untuk duduk dan berbincang sambil pekena kopi; santai. Ini sebuah sisi kerjasama permulaan. 

Khamis dua hari kemudian seperti yang telah lama ditunangi aktor tersohor kota Singa; Rafaat Hamzah untuk letakkan aku dalam kolobrasi persembahan seni budaya Melayu Singapura. Ini sempena Causeway Exchange yang bakal berlangsung di Penang selama tiga hari menjelang penghujung Jun nanti. Suara Dari Muara berupa sebuah fragmen sejam dalam lapisan-lapisan pembacaan, melagukan puisi dan monolog tergabung muzik dan seni tari tradisional, kotemporari. Sementara aku yang diberi penghargaan mendendang single Yang Aku Mahu, juga sebuah lagu baharu Miliki Kau (barangkali boleh jadi single kedua nanti) secara unplugged, Up Stage diadakan malam jumaat kelmarin di studio empunya Rafaat Hamzah sebagai pra persembahan di hadapan tetamu dan wartawan Singapura. 



UU & kumpulan seni budaya pimpinan aktor Rafaat Hamzah (baju tanpa lengan) usai 
Up Stage @ Studio Cokelat, Enterprise One, Singapura. 

Ini sebuah usaha yang menurut aku seni persembahan yang abstrak. Samada mudah ditangkap kerana kebersahajaan para pemuisi dan artisan dalam merungkai makna puisi melalui pembacaan atau ketat dalam melonggarkan pemikiran kerana ia dilapik makna yang terpendam. Malah ibu aku juga jadi radang bila pertama kali membaca ME . me . LA . la. YU . yu yang terdapat nada ejekkan terbuka kepada bangsa Melayu. Tapi aku pujuk ibu supaya bacakan lagi dan fahami. Nah naskahnya tentang sinisme kepada masyarakat Melayu Singapura khususnya yang terus bergelut dengan isu dadah. Isu sedunia yang cuma ditujukan kepada sebuah bangsa. Ini yang aku fikir harus jelas dalam pembacaan dan penyampaian supaya tidak disalah erti. 

Beberapa puisi dan persembahan lain adalah tentang keluh-kesah menjalani kehidupan seorang manusia, seorang wanita, seorang anak, seorang lelaki, seorang bapa, seorang ibu disampaikan dalam elemen muzik jazz, bluess dan pop juga beberapa sisi muzik tradisional bergema pada pertengahan dan penutupan persembahan. Di situ aku cuba meredakan dengan nyanyian sederhana yang mengimbangi momentum beberapa persembahan lain. 

Suara Dari Muara bakal dipentaskan selama sejam sepanjang tiga hari acara berlangsung di Causeway Exchange. Dalam kesibukan ini, Sensasi Akustik Umar Uzair tetap diusahakan seperti yang direncana pada 28 Jun. Samada dalam suasana besar atau santai, aku tak memilih asalkan impian membuat persembahan solo selama sejam dalam sisi muzik tradisional, kepuisian dan soul pop berjalan seiring melancari single Yang Aku Mahu yang lama terpendam. 

Sampai temu!

*KLIK PADA GAMBAR UNTUK BESARKAN IMEJAN.



| edit post

0 Reply to "Sebuah Lagi Minggu."