U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Diantara Dua; Bulan dan Jiwa. (0)

Friday, May 24, 2013 by , under

Sebetulnya sejak tengah April aku sudah memulakan promosi single Yang Aku Mahu. Undangan  temubual langsung di Melaka FM antaranya. Menjelang pertengahan Mei kelmarin, aku sibuk-sibuk dalam banyak persiapan. Setelah Mesyuarat Agung Persatuan Sasterawan Numera Malaysia jaya dilangsungkan, oh khidmat bakti aku sebagai Setiausaha Agung NUMERA Malaysia masih dimahukan untuk penggal ke dua. Ikhlaslah. 

Pun, dalam keasyikan menghadapi dramawisata NUMERA, aku meneruskan niat dan harapan bonda Siti Zainon Ismail; seorang budayanita, pakar sejarah, konsultan seni budaya dan pemilik Galeri Melora. Aku teruja sebetulnya mendekati wanita ini atas banyak perkara. Pertama kerana dia WANITA. Kedua, dia wanita MELAYU yang menutur dalam bait kata cukup romantis dalam kewanitaannya. Ketiga, dia seorang fesyenista unggul dan seorang pelukis tersohor. Keempat dia seorang pejuang yang anggun dalam pembawakan dirinya. Ah! Aku begitu memuji. Ya itu selayaknya. 

Memang semasa berada di sisi ayahnda Sasterawan Negara Kemala, aku dibawa selam dalam lautan yang asing dan mengenali dunia warna-warni dalam keduniaan kesusasteraan. Nah, dipimpin bonda Siti Zainon Ismail ke dalam pertubuhan Laman Seni Budaya (SEBUDI) menerjunkan aku ke dalam sebuah lautan yang juga cukup indah seri dalam mengenali sisi rakan teman yang berbeza. Asbab dia seorang pelukis, aku dibawa mengenali dunia kepelukisan yang cukup mawar. Melalui SEBUDI aku lihat sebuah lagi kepimpinan yang mahu diutuhkan justeru rasa terpanggil untuk mendukung bonda Siti yang memerlukan kekuatan orang muda. Ya, tentulah aku muda kacak bergaya! 


Selesai undangan di Galeri Seni Raja Ahmad dekat Solaris Dutamas, aku dan bonda Siti minum petang di lereng tasik KL Pac dan menyuruh aku memikirkan sebuah usaha seni dan budaya di sini - 11 Mei 2013. 

Suatu waktu bonda Siti membisik kepada aku tentang rasa terkilannya kerana penulis wanita seperti tidak dicolet kerana permintaan penulis lelaki asyik dilayan. Apalagi selepas Seminar 6 Sasterawan Negara juga melihatkan deretan sasterawan lelaki. Apalagi Sasterawan Negara ke-12 yang rata-ratanya menyebut nama Siti Zainon Ismail, Zurinah Hassah dan Fatimah Busu ternyata masih sebuah angan-angan bila disandang Dato' Baha Zain. Bonda Siti mengaduh lagi. Aku tidak sampai hati. Justeru dia yang memperjuangkan penulis wanita mencadang adakan Mesra 6 Penulis Wanita sebagai sebuah kata seruan supaya pandanglah kepengarangan penulis wanita dan jangan dilihat enteng. 

Aku setuju, justeru aku ikut mendukung acara Mesra 6 Penulis Wanita dan menggerakkan langkah awal bersama-sama. Hati juga ditiupkan semangat bila kakanda Haslina Usman Awang turut ikut bersama dalam pergerakkan ini.  Permasalahan dalam menjalankan aktiviti berskala separuh besar itu normal dalam sebuah pertubuhan baharu. Numera juga begitu diawalnya tapi aku selalu titip pesan pada bonda Siti, jangan bimbang. Aku akan pastikan angan-angannya jadi kenyataan biarpun dalam tusukkan sembilu dan di padang kesederhanaan. 



UU dalam penampilan akustik Yang Aku Mahu, Biar Bulan Bicara & keroncong Kasih pada siang merai kepengarangan penulis wanita @ Jeumpa D'Ramo, Bangsar. 



Umar Uzair - Biar Bulan Bicara (Akustik)

Nah, pada 18 Mei lalu harapan bonda Siti Zainon Ismail disahut oleh lima lagi penulis mapan lama dan baharu; Mahaya Mohd Yassin, Zurinah Hassan, Siti Zaleha Hasyim, Kamariah Kamarudin dan Rozninah Abd Azib. Nyatanya mereka cukup mendahagakan acara yang merai penulis wanita. Aku sendiri mengiyakan kerana rata-rata acara dimonopoli penulis lelaki. Rupanya industri sastera juga ada semacam diskriminasi. Aku tidak menuduh, cuma berbasa-basi. Apalagi melihat karya keenamnya dibedah oleh pada doktoris dan ilmuan, aku jadi kagum dengan semangat dan keayuan kekuatan mereka. Tentu acara yang didukung penaja - Institut Terjemahan Buku Malaysia, Dewan Bahasa & Pustaka, Perbadanan Kota Buku, Jeumpa D'Ramo dan dinaungi Tan Sri Dato' Seri Sanusi Jonid ini tidak sia-sia. Para wanita berkumpul hari itu menyalakan obor dan meniup semboyan bahawa mereka juga gah dalam kepersadaan sastera negara. 

Nada-nada yang menabur kata cemburu itu biasa ya. Soal kenapa tidak ada Fatimah Busu, Khadijah Hashim dan beberapa tokoh besar lain pada Mesra 6 Penulis Wanita, serupa juga yang aku terima semasa Seminar 6 Saterawan Negara; kenapa tidak ada Pak Samad, Shahnon, Usman Awang? Katakanlah dikumpul semuanya, aku pasti tidakkan berterusan acara begini dan kupasan juga terhad kerana batasan waktu dan pembedah karya. Pasti nanti akan ada usaha untuk menyambung lagi. Sabar saja!


UU dalam persembahan sesi malam 100% tradisional - Mohon Kasih, keroncong Kasih, Penawar Rindu, Patah Hati, Keroncong Untuk Ana & Pandang-Pandang Jeling-Jeling diiringi Dewangga Sakti @ Jeumpa D'Ramo.

Begitu April dan Mei aku berlalu. Tombol pintu Jun akan dipulas, aku sedang persiap Sensasi Akustik Umar Uzair pada 28 Jun 2013. Sebuah persembahan unplugged dua jam dalam lelagu tradisional, kepuisian dan soul pop sekaligus melancar single Yang Aku Mahu. Juga baru tadi aku ambil waktu mengumpul dan menyusun puisi yang telah dihasilkan sepanjang tempoh Januari 2012 hingga yang terkini; rupanya sudah 40 judul puisi sudah aku karangkan. Ini molek. Bermakna sebuah kumpulan puisi kedua aku juga boleh dibukukan dan dilancarkan. Apapun yang terjadi aku akan pastikan 28 Jun berlangsung samada dalam suasana besar atau kecil!

Kekunang ngerlip di tepi paya,
Melata muara hingga ke hulu,
Sarong diikat pemurni budaya,
Sebagai mengalas menutup silu.

Sampai temu - UU



| edit post

0 Reply to "Diantara Dua; Bulan dan Jiwa."