U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Tatang 2013 1

Monday, January 14, 2013 by , under

Ah! 

Barangkali sudah berulat sarang aku tinggalkan laman sini hampir sebulan ini. Begitu penghujung 2012 dan pembuka 2013 membawa aku ke dalam suasana kesibukan bersama keluarga, bersama kerja dan deret-deret projek persembahan dan kesusasteraan. Bersama hal sendiri, bersama itu bersama ini. Sudah dua minggu 2012 ditinggalkan, cuma hari ini aku ada waktu mendodoikan patah kata buat pendukung yang ada waktu seperti ketagih mahukan cerita baru tentang aku. Ya, ya. Aku tidak hilang. Justeru makin selalu disekitar semuanya. 

Sudah, lambaikan saja tahun yang lalu. Aku tatang tahun ini bersama projek lagu Yang Aku Mahu yang sudah dirakam dalam sisi muzik baharu, dengan rona dan lembar warna serba baru. Yang Aku Mahu dalam melodi baharu ini meyakinkan aku langkah lebih jauh ke depan pada tahun ini. Justeru sebelum penghujung Januari aku akan merakam video klipnya sebelum merangka pelancaran sederhana buat pendukung & media pada Mac atau April 2013. 


Selamat menjamu gendang telinga dengan lagu ini!

Pun, dalam pertemuan beberapa waktu bersama ayahnda Kemala yang terus mendukung aku ke dalam sisi penulisan kesusasteraan negara, kami sama-sama merencana sambutan ulang tahun Setahun Numera seiring pelancaran Anugerah Puisi Dunia Numera 2014 yang bakal langsung di Rebung, Bangsar tanggal 9 Februari nanti. APDN diusahakan sebagai melambakkan aktiviti sastera secara konsisten dalam cara dan bergaya. Juga sebagai menghargai para pendukung Nusantara Melayu Raya sepanjang setahun penubuhannya. Nah! Buat semua pencinta budaya dan sastera Melayu seantero dunia, lahirkan karya puisi anda yang indah dan maha agung untuk kami panel hakim mengadili. RM15 000.00 dihulur buat para pemenang bersama beberapa hadiah iringan yang serasanya meransangkan! Klik Anugerah Puisi Dunia Numera 2014 untuk lihat info terperinci.

13 Mac juga saksi aku bersama Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Malaysia UPM dalam kerjasama Seminar Enam Sasterawan Negara : Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, KEMALA, Arena Wati, Anwar Ridhwan & Muhammad Haji Salleh di Dewan Za'ba. Seminar menghargai ketokohan dan pengengarangan sasterawan unggul ini mengujakan aku. Kerjasama yang sulung dari pihak luar buat aku ini serasa sebuah penghormatan apalagi pesan ayahnda Kemala supaya berterusan mengadakan kerja-kerja sastera kalau mahu terus jaya dalam bidang ini.

Nah, begitulah aku ke sana ke mari. 1012 jaya membawa aku ke dalam bidang ini. Semoga 2013 insyaAllah membuka mata aku supaya terus membudayakan sastera dan menghargai apa yang ada di depan mata. Maju terus pacu!

Ah! Terima kasih juga buat para media dan pendukung, para pengkritik tegar UU yang terus-terus bersama dalam menjayakan banyak hal. Info . Bio . Bukugrafi . Videografi . Galeria yang kompak terus saja ke www.siumaruzair.com



| edit post

1 Reply to "Tatang 2013"

Anonymous on January 23, 2013 at 11:27 AM

This comment has been removed by a blog administrator.