U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Bulan Merawan 1

Friday, January 25, 2013 by , under




i

Betapa kesibukan begitu sudi menjadi teman aku sejak dua tiga minggu belakangan ini. Ya, bila sepi langsung sunyi bersendiri. Bila datang kerja-kerja seni, aku tatang bagai minyak yang penuh dalam secangkir gelas kaca. Kadang-kadang tidak juga kemas, terjuir sedikit minyaknya ke luar bibir gelas. Yang pokoknya berjaya di letak atas meja; hidang. 

Kebetulan atau memang sudah tersurat berderet pula undangan persembahan yang bukan anak-anak dihulur buat aku. Pun, ini rezeki. Ulang tahun yang direncana kurang lebih sebulan dua sejak sebelum datang 2013, Setahun Numera berlangsung dengan gemilang seperti disusun. 9 Februari jadi tarikh bermakna buat aku sebagai setiausaha agung Nusantara Melayu Raya merainya di Rebung Bangsar, tempat kegemaran presidennya. Setahun yang lepas membawa aku ke dalam perasaan yang bermacam. Apalagi yang lebih indah bila anak kecil serba kosong dipimpin sasterawan negara ke dalam dunia kesusasteraan. NUMERA memang sudah menjadi akar yang menunjangi perkembangan aku sebagai seorang pemuisi, penulis dan penyanyi.


UU dalam padanan hitam bersongket oren.

Bersama Numera, aku melatih diri menjadi seorang yang bertanggungjawab mengurus banyak hal yang menguji diri. Dalam setiap urusan dari sekecil menaip surat di papan komputer hingga sebesar sebuah acara gala, Kemala menyuruh aku berani tanpa dikata dalam setiap perkara supaya sedar tentang kebertanggungjawapan sebagai seorang aktivis bukan cuma melaung rasa cinta tapi mempamerkannya. Nah, sekarang aku bukan mendabik dada tapi kekuatan ini yang membawa keberanian aku ke depan. 

Kalau sepanjang tahun lepas, banyak acara yang sudah dilakukan demi meneruskan pemartabatan sastera dan bahasa Melayu, untuk tahun ini dan mendatang, aku mahu usahakan sesuatu yang lebih manis dan besar. Memang impak yang besar akan mengambil masa yang lama. Itu tidak apa-apa, yang penting usahanya berterusan. Malam yang sama juga menjadi begitu indah bila didatangi Tan Sri Hamad Kama Piah yang sudi merespon surat aku untuk hadir & merasmikan ulang tahun kami beserta pelancaran Anugerah Puisi Dunia Numera 2014 sebagai usaha berterusan menghargai dunia kepengarangan dan kepenulisan penulis dalam negara.


Buat pencinta bahasa dan pendukung sastera, Numera mengalukan penyertaan dari semuanya merebut RM15 000.00!

ii

Dr. Ibrahim Ghaffar membisikkan buat aku kurang lebih sebulan lepas pada Baca Puisi Pena di Dewan Bahasa Pustaka, mengundang aku bikin persembahan fragmen khas dalam usaha Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor bersama kerajaan negeri merai dua sasterawan negara anak negeri Selangor; Dato' Dr. Kemala & Dato'. Anwar Ridhwan. Ya tentulah aku dikhususkan kepada Kemala. Duh! Undangan ini bukan calang-calang. Undangan serba idaman. 

Aku agak kerisauan kerana selama sebelum ini aku cuma memerhati dan menontoni fragmen dari duduk kerusi sebagai yang dihiburkan. Justeru bila diri dipanggil mempersembahkan sebagai persembahan kemuncak, nah ada adukkan perasaan teruja dan kekagetan. Sepanjang dua minggu sebelum persembahan, akal ditembak-tembak bermacam cadangan tapi sebentar-sebentar hilang kerana waktu yang sama harus sibuk-sibuk dalam pengacaraan Setahun Numera & pelancaran Anugerah Puisi Dunia Numera 2014.

Justeru cuma seminggu sebelum acara berlangsung pada malam 15 Februari di Dewan Orkid, PKPS, Shah Alam, baharu aku bersama aktor & teateris; Taufiq Izmir (yang kebetulan juga kesibukan dengan penggambarannnya di Kuantan) bertemu mata memuktamadkan idea kami. Apalagi ini tidak mungkin dihentikan samada dalam penolakkan selepas aku beri persetujuan untuk menampil diri. Tapi harus juga buat sesuatu yang segar supaya tidak memalukan diri sendiri apalagi ayahnda Kemala sebagai yang dirai. 



Taufiq Izmir, Datin Pon Mariam, SN Dato' Dr. Kemala & UU usai persembahan dan acara.

Malam 15 Februari itu, atas pentas di hadapan YAM Tengku Panglima DiRaja Selangor Tengku Sulaiman Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan beratus tetamu kehormat, aku deklamasi tiga puisi SN Kemala dari Titir Zikir; Amir Hamzah Penyair Melayu, Pantai Kasih dan Kasih. Sementara Taufiq Izmir melakoni watak Kemala dalam pergerakkannya di atas pentas. Bersama orkestra tradisional yang aku undang khusus, juga aku dendangkan keroncong Kasih yang diminati Kemala. Taufiq dalam persembahannya mendapat pujian ramai usai majlis, apalagi sewaktu bertemu Datin Pon Mariam, suri SN Kemala berkata; "Persis Kamal muda-muda" 

Sebagai seorang pemuisi & penyanyi, di suatu sisi aku berasa cukup puas dalam penampilan atas sebuah pentas besar di acara yang besar. Biar ini sebuah pengalaman yang hijau kerana jarang-jarang tampil mewah dalam sebuah pentas acara sastera tapi sebetulnya aku sudah bersedia mahu lebih ke hadapan. Tapi di suatu sisi aku tidak puas; perlu perbanyakkan persembahan skala begini untuk menjadikan diri lebih profesional. Persembahan-persembahan yang menguji begini yang aku idamkan. Semoga di masa mendatang aku dapat tampil dengan lebih bergaya dan elok.





Beginilah awal 2013 membawa aku bersama dua persembahan indah. Terima kasih kepada seisi pendukung yang selalu setia mengikuti perkembangan aku. Banyak perkara yang disusun cuma masa dan wang yang kadang-kadang bak memusuhi. InsyaAllah pelancaran Yang Aku Mahu tidak tertangguh tangguh dalam Mac atau April ini!

Sampai temu!

UU



| edit post

1 Reply to "Bulan Merawan"

Anonymous on June 18, 2014 at 5:07 AM

I've been browsing online more than 2 hours today,
yet I never found any interesting article like yours.
It is pretty worth enough for me. In my opinion, if all site owners and bloggers made good content as you did,
the net will be a lot more useful than ever before.

my web site; sua dumex