U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Tempat Aku. (0)

Wednesday, December 21, 2011 by , under


Ada di suatu masa kurang lebih lapan purnama yang lepas, waktu empat lima bulan aku baru baru serius menginjak kaki masuk ke dalam industri seni penulisan dan muzisi; aku begitu sendiri. Memang aku menuntut di sebuah istana tersergam balik Padang Merbok sana, yang seisi penghuninya bersepahan manusia manusia berjiwa sensetif terhadap karya karya dan agung orangnya, cuma aku pada tengah tahun lepas, ambil keputusan untuk keluar dari kebiasaan diri dan jalankan apa yang aku impikan - sendiri. 

Justeru sewaktu projek cerpen Sampai Mati terlancar lewat September 2010, aku begitu tidak tahu bagaimana dan ke mana halanya perjalanan seni ini. Yang kebiasaannya diketahui aku; jalan sendiri memang tidak lancar, tiada mudah, tiada itu, tiada ini. Memang! Itu yang aku lalu sepanjang tempoh enam tujuh bulan sebelum Mei kelmarin. 

MEI 2011 - Aku sudah sembilan bulan rasmi menjadi penulis; cerpenis. Aku sudah tiga empat bulan rasmi menjadi penyanyi sementelah menyanyi saban bulan di lounge kelas mewah hadapan KLCC. Hujung April aku luah hajat hati pada akal untuk menghasilkan sesuatu pada tahun ini. Aku mahu buat projek novel yang menjadi angan angan. Cuma aku terlalu sendiri untuk melakukan. Menjayakan projek novel yang mengikut akal aku bukan senang. Menghasilkan Sampai Mati juga sudah hampir mencabar aku, tapi hati harus kuat. Jadi aku kata;

"Aku mahu kumpulkan puisi puisi yang pernah dihasilkan..." 

Tapi waktu itu aku tidak punya kuasa. Kuasa maksudnya; aku mahu ada dalam kelompok orang orang sastera yang akal dan pemikiran terbentuk untuk menyebarkan perbahasaan dan kesusateraan Melayu. Aku tidak kenal siapa siapa. Benar aku kenal Dato' A Samad Said, Dato' Dr Anwar Ridhwan, Faisal Tehrani, Tuan Hj Rahim Abdullah, KEMALA, Fatimah Busu. Ah! Siapalah yang tidak kenal. Cumanya aku pada waktu itu - siapalah?! Anak kecil yang sehari hari mengangankan diri menggauli mereka. 

Suatu hati aku dilayang mesej jemputan ke sebuah perjumpaan penulis penulis di Bangsar. Aku suka! Aku siap siap sedia, dan aku datang tunjuk muka. Di sebuah banglo eksotik sisir jalan kediaman orang orang kota (katanya), aku masuk pertama kali menggauli sebuah pertemuan yang dihadiri penulis penulis yang 80% aku tiada kenal nama. Aku nampak seorang pengarah dan penulis tersohor, aku nampak seorang dua penulis novel remaja (yang bukunya aku beli dan belum sampai dua tiga helai dibaca; tutup dan simpan), aku nampak seorang dua penulis skrip dan pelakon, cumanya aku tidak senang sepanjang dua jam duduk dalam kelompok situ. Memang ini perhimpunan penulis penulis novel dan pemuisi, cuma ini bukan kelompok yang diingin aku. Penulis penulis ini lebih senang berbincang tentang agenda gelap, isu isu kurang berbudaya dan kebanyakannya bukan memandang ke timur. 

Apalagi bila pentas pembaca dan pemuisi dilatari keping keping gambar babi. (Barangkali comel dan berseni pada akal fikir mereka, tidak aku).

Selesai majlis aku temu pengarah dan penulis tersohor itu, aku layang hajat berupa;

"Saya ada kumpulan puisi dah sajak untuk dibukukan, saya tengah cari penerbit. Kalau ada yang minat untuk melabur..."

"Sajak? Eww.. Sajak? Puisi? Kita tak buat sajak-sajak, puisi-puisi ni. Mana ada orang nak baca. Kita terbit novel remaja, unsur humor ringan. Kalau ada bahasa bahasa yang biadap, lebih bagus..."

Aku telan liur. 

Dan semenjak habis ayat dikasi dia, tiadalah aku pernah menghormati dia lagi. Asbab memperkecilkan bahasa dan kesusasteraan Melayu! Biadap!

Kerana itu sewaktu pelancaran - Kumpulan Teks Pascamoden 'Di Mana Bulan Sorokkan' rasmi dilancar Dato' A. Samad Said dan Dato' Dr Anwar Ridhwan dan disokong usahanya oleh Biduanita Negara; Ziana Zain, menitik air mata. Semenjak aku didukung tiga nama besar ini, aku jadi berani cuma masih tidak memikir akan ke hadapan selekas sekarang. 

Oktober lepas merubah sisi penghidupan aku. Berkenal dengan pemikir tersohor - Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah atau KEMALA, merubah banyak perkara untuk aku sebagai seorang manusia dan penulis. Membawa diri menggelongsor ke dalam sesetengah perkara dan didokong usaha oleh sasterawan terbilang seperti Dato' KEMALA memang suatu momen penuh indah. Perasaannya bukanlah calang calang. 


*KLIK untuk besarkan

Justeru waktu diundang sendiri ke Rumah PENA untuk Baca Puisi NUMERA - 2 Disember lalu, aku paling teruja! Siapalah yang tidak kenal PENA yang sudah 50 tahun dalam Tanah Melayu. Cuma sepanjang perjalanan menjadi penulis, aku begitu segan mendekati keluarga Persatuan Penulis Nasional. Sudah dipasak angan angan, cuma belum tahu jalan. Bila Dato' KEMALA sudah tunjuk jalan, dua minggu kelmarin aku ambil jalan putus untuk rasmi pra dengar lagu 'Yang Aku Mahu', di hadapan sekalian pencinta bahasa dan sastera Melayu. 


- Pendukung sastera & perbahasaan Melayu @ Rumah PENA.


*KLIK untuk besarkan

NUMERA - Nusantara Melayu Raya yang berupa buah fikir dari Dato' Kemala merupakan sebuah usaha serbah mega tentang sastera nusantara. Terhimpun berpuluh pemuisi dari Malaysia - Indoensia - Brunei - Jepun - Rusia, hadir tunjuk muka di Rumah PENA malam Jumaat yang hari itu.

"Ini tempat aku! Sudah aku temu jalan mendekati pemuisi dan penulis hebat, sudah aku jumpa apa yang sebetulnya menjadi idaman kalbu..."



*KLIK untuk besarkan

'Yang Aku Mahu' - petikan puisi Biar (Kamu) dari Di Mana Bulan Sorokkan berupa sebuah usaha serius untuk menembusi industri muzik masih dalam komposisi penyusunan melodi, yang aku rencana akan siap Januari 2012. Ada begitu banyak perkara yang sedang dilalui, akan aku dikisahkan sepersatu di lain kali...


Salam - UU



| edit post

0 Reply to "Tempat Aku."