U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Delegasi Tersohor! (0)

Friday, December 23, 2011 by , under

Desir desir bayi angin yang halus sayu bunyinya dari kipas elektrik yang berdiri tegak sebelah lemari kayu, sisi ruang bilik aku serasa mendakap seisi temulang. Dingin itu yang kejutkan aku dari lelap tidur. Justeru aku celik mata yang berat mahu dibuka. Dalam rasa antara sedar dengan tidak, aku tolak bantal bantal yang menemankan; keliling. Butang atasnya aku tekan - mematikan. Aku bukan lagi seperti di waktu kecil. Aku perlukan angin. Aku tidak boleh lelap kalau tiada kipas. Biar angin tidak ketiup terus ke aku, bunyi pun sudah cukup memejamkan. Belakangan ini aku sudah tidak cintakan kesejukan. Lekas saja terbangun lewat tengah pagi. 

Perkara pertama selepas itu, aku meraba raba tilam yang cadarnya sudahlah berwarna hitam. Bukan kotor tapi memang asalnya begitu. Mencari BlackBerry sebetulnya. Aku persetan lambang mesej dari Facebook, Tweeter dan BBM. Aku semak mesej telefon. 

"Besok, pertemuan sasterawan di Nikko, sekarang InterContinental, Jln Ampang. Jam 9 pagi. Datanglah..." 
- Dato' KEMALA.

Aku diam. 

Pandang jalur jalur tingkap kaca. Bukan tidak aku mahu akal ini berpeleseran memikirkan, aku belum tahu mana nak mula. Aku rebah tubuh semula. Waktu mata sedang mahu didodoi dodoi, laut fikir berombakkan. Tentang undangan serba indah dari pemikir tersohor, tentang pertemuan sasterawan, tentang InterContinental. Barangkali perbincangan biasa. Bolehlah, bukan ada apa untuk dibuat Jumaat keesokan. 

Gelap. 

* * *

Jam 9 pagi seperti yang disuruhi, aku menuruti Dato' Kemala ke dewan mesyuarat, yang seawalnya waktu kesampaian, aku dibalut rasa debar seribu rasa. Mata tertampar pada ilmuan ilmuan negara - Dato' Dr Anwar Ridhwan. Aku diberi duduk membelakangkan Dato' Kemala yang bersebelahannya Haslina Dato' Usman Awang. yang sebarisnya Zakaria Ariffin, Dato' Baha Zain, Profesor Dr. Hatta Azad Khan, Dr. Faisal Tehrani, Khalid Salleh. 

Disumbat sumbat peri rasa gementar waktu disebelah sana, dimasukki wajah Datin Siti Seroja, Dr. Fatimah Busu, Agi Ghaffar Ibrahim, Syed Zakir dan Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin. Ah! Siapalah yang tidak kenal rupa rupa sesohor ini? Dan dalam mesyuarat apa yang sedang punggung aku terlabuhkan ini?

- Pertemuan Sasterawan Sasterawati Negara bersama Institut Terjemahan Negara ke - 2.


Dr. Fatimah Busu 



Di belakang; mendahulu & mendukung Dato' Dr KEMALA. 

*KLIK untuk besarkan*

Selama lama dua jam tubuh dibalut rasa sejuk mencengkam, aku lantakkan. Mendengar suara suara penyebar sastera Melayu dalam tanah negara begitu lebih lebih mengujakan! Seperti ada di suatu masa, selepas taklimat dari pengarah ITNM, dibuka pertanyaan untuk diajukan. Membiar telinga dengar rintih rintih suara tua Dr. Fatimah Busu yang dahulu waktu kecil aku membaca karya karyanya, yang mempertikai kedudukan penulis penulis wanita dalam industri sastera negara, menghentak kaki kalbu. Begitu jugalah aku tersentuh dengar ayat Datin Siti Seroja tentang permasalahan novel Interlok [yang sekarang sudah ditukar pembelajarannya kepada Konserto Terakhir]. 

Di tengah tengah kedudukan aku sebagai anak kecil yang selayaknya hanya duduk diam, dengar dan memerhatikan, hati aku hebat digoda menyuruh cakapkan sesuatu. 

'Berdirilah, dan cakapkan sesuatu, Uzair...'

Sepuluh jari aku terkuis satu dengan lain. Sementelah pembesar suara teralih selepas sini kepada situ. 

'Beranikan diri! Ini tempat engkau!' Entah suara malaikat mana yang membisik supaya aku jadi berani begitu. Justeru dalam akal dibayang suara suara separuh sedar itu, tangan kanan aku terangkat. Semua mata memandang. Aku bangun, diri seorang. 

Mohd Khair memandang. Barangkali dalam akal bercakap; 'Siapalah budak kecil yang tiba tiba mahu mencelah diperbualan orang orang tua begini?'

Aku bangun dan membuka cakap; "Saya seorang penulis yang baru bermula waktu usia 13 tahun, dan empat lima tahun belakangan ini, serius meletakkan diri sebagai seorang pengkarya dalam dunia sastera. Bertemu dengan Lim Swee Tin, Fatimah Busu, Faisal Tehrani, Baha Zain; kalau dalam industri muzik itu bagai bertemu M. Nasir, Ziana Zain, Amy Search. Tadi sudah diberitahu, pertemuan yang diusahakan ITNM ini terakhir kali jadinya 2008. Saya tak mahu menunggu dua tiga tahun lagi untuk cakapkan ini..."

Ya, ada ayat yang panjang aku petahkan selepas perucapana itu. Cuma itulah pokoknya keberdirian aku di situ, selain hajatnya memberitahu;

"Sebetulnya ramai diusia remaja saya yang meminati dunia penulisan dan sastera. Mereka ingin mendekati bintang bintang sastera Melayu seperti ini, cuma tidak tahu di mana dan ke mana. Barangkali selepas ini, adalah masa untuk para sasterawan dan sasterawati untuk turun temu pencinta pencinta muda seperti saya..."

Maka lepaslah sesuatu yang tergantung bagai sejenis rasa beban dalam lopak lopak hati bila selesai menyampaika apa yang dihasrati. Selesai pebincangan dalam pertemuan penuh makna, aku jadi berkalung sebak bila didatangi Dr. Fatimah Busu. 

"Saya sudah jadi peminat awak..." bisik dia dalam pekat suara tua. Kedut kedut pipi ikut sama bergerak. 

"Siapalah saya... masih anak kecil..."

"Sudah besar! Tuliskan alamat awak, saya mahu kirimkan buku saya, nanti..." 

Dr. Fatimah Busu yang disegani menghulur sebuah buku, di pergelangan kirinya tergantung beg kertas, yang hujung jarinya menunjukkan pen hitam. Menggigil, sudah bukan kerana kesejukan lagi. Aku duduk di kerusi yang kurang satu meter dari kami; menitip patah patah alamat rumah buat si sasterawati. 

"Tak susah nak jumpa saya, datang ke Penang. Saya setiap pagi menyapu daun daun kering depan jalan besar di rumah. Di situ boleh jumpa saya..." ucap Dr. Fatimah Busu yang barangkali sebagai respon tentang hajat yang dilaungkan aku kurang setengah jam dalam perbincangan tadi. 

Aku sebak, bakal muntahkan air mata. 

"Saya dan Dato' Kemala sedang rencanakan konsert sasterawan NUMERA. Sudilah ikut serta kami membaca puisi nanti..." aku hulurkan niat yang tiba tiba datang. 

"Ah! Saya bukan penyair. Saya tidak membaca puisi, bersajak di hadapan orang..." Aku terima ayat permulaan itu dengan rasa tak senang, sebelum dia menyempurnakan maksud; "Suara wanita itu aurat. Bahkan mengaji, membaca Al-Quran dengan kuat juga aurat..." - maka bertambahlah rasa hormat aku pada penulis terkenal ini. Bergembiralah Malaysia miliki pemikir sebagus Dr Fatimah Busu! 


Delegasi Tersohor.

Lewat pertemuan itu, aku dijemput semua untuk berdiri abadikan kenangan dalam sepetikan gambar yang membuktikan kewujudan kami; sasterawan dan sasterawati. 

Sebelum turun makan tengah hari, Dato' Kemala pesan pada aku; "Jangan lupa datang makan malam Ulangtahun PENA ke 50, malam nanti.." 

Aku senyum, pulang dengan hadiah 'Hikayat Hang Tuah' yang sudah diterjemah ke bahasa Inggeris oleh ITNM dengan bunga bunga mekar bertaburan dalam taman hati. 


- Kami : selesai makan malam Ulang Tahun PENA [Persatuan Penulis Nasional] 
@ InterContinental - bersama Dato' Sri Najib Tun Razak.


Salam - UU



| edit post

0 Reply to "Delegasi Tersohor!"