U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Skeptikalis Seorang Penulis (2)

Saturday, November 05, 2011 by , under

i

Di suatu waktu yang dulu, kurang lebih enam tujuh tahun yang lepas lagi, aku sudah pasang angan menjadi pendeklamasi puisi. Asbab di suatu waktu yang dulu, kurang lebih 14 tahun yang lepas, aku rajin dipanggil cikgu yang sudah aku lupa apa nama dia [yang bugar dalam akal; dia wanita, guru disiplin disegani di Sekolah Rendah Perumahan Tampoi  1, Johor Bahru. Tubuhnya gempal, ada cermin mata besar tren lewat 80 an yang tetap melekat di mata dia. Dan kalau sedang bercakap, pekat bahasa Melayunya mengagumkan. Bunyi C akan jadi CH, huruf R suka digandakan RR; laksana Ziana Zain kalau menyanyi sebut sesatu hurufnya] ke majlis majlis pertandingan syair sekolah sekolah rendah.

14 tahun lepas aku tidak pernah tahu aku boleh bersyair sampailah disuatu masa aku dipanggil dia ke bilik guru disiplin;

Yang sewaktu dalam perjalanan aku ke sana, hati debar jangan ditanya. Puaslah aku memikir apa pula salah yang aku buat, padahal aku duduk diam diam saja dalam kelas 4 Nilam [kelas kedua tercorot] itu pun di belakang sekali sebelah Sithick Ali [rujuk cerita 'Aku, Sithick Ali dan Kenangan Kami' kalau mahu tahu cerita tentang dia]. Justeru aku langkah longlai saja walaupun bilik guru cuma setingkat atas saja dari kelas aku. 

Masuk, Si Cikgu duduk pandang tak senyum. 

"Umar, awak menang pertandingan nyanyi lagu kebangsaan semalam kan?"

Aku angguk. Ya aku nyanyi lagu Bahtera Merdeka [Ada cerita lain waktu aku menang pertandingan ini, nantilah di penceritaan yang lain]. 

"Kalau awak boleh nyanyi lagu tu dengan bagus, makanya awak mesti boleh bersyair. Tahu bersyair?"

Aku geleng kepala. 

Sejak hari itu aku dilatih untuk bersyair oleh dia. Katanya supaya aku boleh mewakili sekolah untuk pertandingan pertandingan sebegitu. Benar, itu kali pertama aku mendapat tahu; aku boleh bersyair. Dan pertama kali aku serta pertandingan;

Aku kalah. Ya. 

ii

Ada di suatu ketika, kurang lebih empat lima tahun yang lepas, aku tujukan hasrat hati pada ibu untuk menjadi seorang penulis. Waktu di suatu ketika jasad dan roh pejuang penulisan bagai terserap dalam tubuh sedikit sedikit. 

Ibu melarang dengan kata;

"Kau nak makan apa kalau jadi penulis? Bukan dapat hasil pun..."

Benar itu kata ibu yang sampai sekarang aku tak pernah lupa. Aku tak salahkan ibu, sebab pandangan keliling ibu dihadiahkan dengan anak anak saudara yang terlahir berjaya menjadi seorang doktor, peguam, pensyarah, pengarah bank, saintis; yang gaji mereka bulan bulan adalah tetap beribu begitu. Dan secara zahirnya seorang penulis selalu digambar orang orang sebagai seorang yang kurang kaya. 

Sebab 1 : Pakaian mereka selekeh. 

Contoh terulung : Dato' A. Samad Said [Pak Samad datang ke majlis pelancaran Di Mana Bulan Sorokkan aku dengan kemeja kelabu lusuh, seluar kecoklatan dan capal sederhana. Bukanlah seperti bintang terkenal yang kalau datang Anugerah Skrin dengan Prada atau Ferragamo [sebab itu Pak Samad tak dijadikan muka depan GLAM Lelaki, walaupun akal dan pemikiran dia lebih besar dari akal sebilangan mereka yang dibanggakan].

Sebab 2 : Kehidupan mereka sederhana. 

Contoh terulung : SEMUA sasterawan negara. Kehidupan mereka memang sederhana. Biasanya suka berjalan kaki saja ke manapun. Biasanya makan di tempat biasa, di manapun. Yang tidak diketahui ialah apa dan mengapa mereka memilih itu [yang aku sebagai seorang penulis sudah menemui jawapannya] 

Sebab 3 : Nama 'Penulis' itu sendiri kurang glamor. 

Contoh terulung : 

"Anak awak kerja apa?" 
"Anak saya kerja doktor... / lawyer... / arkitek... / akauntan..." 

Berbanding; "Anak saya penulis.." 

Ya. Sepanjang pengamatan aku selama bertahun ini, ibu belum pernah kedengaran berbangga untuk menyatakan aku sebagai seorang penuntut di Akademi Seni, berbanding tentang adik aku yang sedang menuntut di kolej swasta dalam bidang perbankan Islam. Kerana contoh yang tiga begitulah. Bodohlah aku kalau kata aku tidak pernah berkecil hati, tapi aku tidak pernah rasa iri kerana aku tahu, akulah yang bertanggungjawab merubah apa yang difikir ibu selama ini; 

Penulis tidak boleh jadi kaya seperti pekerjaan lain. 

iii

Di suatu hari yang semalam, waktu aku baru sampai ke rumah pulang ke sini untuk Aidil Adha. Sudah 27 hari aku tak memandang sejuk muka ibu, dan redup kedut tua pipi ayah. Aku pulang. Cuma kali ini dengan cerita tentang kejayaan aku lagi. Memang sejak awal tahun lalu aku pulang setiap bulan dengan cerita kejayaan. Cuma kali ini ceritanya bikin ibu mereaksi sejenis memek rupa yang berbeza. 

"Hari tu abang baca puisi dengan sasterawan negara?" ayah tanya kurang lebih sepuluh minit lepas aku sampai di rumah; letak isi barang dalam bilik, mencium si kelabu yang melahirkan anaknya bawah katil aku dan kemudian aku keluar semula ke ruang tamu rumah. 

"A'ah.. satu puisi ja.. ingatkan dia orang tak bayar..."

"Dibayar?" ayah tanya lagi.

"Bayar 200 ringgit ja.. Tapi kalau sasterawan negara macam Dato' KEMALA tu, dapat 1000 ringgit..."

"Berapa lama abang baca satu puisi?"

"Adalah dua tiga minit... Satu lagi lagu. Saja abang nyanyi Biar Bulan Bicara hari tu.. kira hadiah lah.. kira lima minitlah..."

"Lima minit dapat 200 ringgit? 

"Dato?"

"Sama... tapi Dato' KEMALA sudah ke depan hebat.."

"Dua minit dapat 1000 ringgit?"

Aku angguk kepala dengan sejenis eksen; dua kening aku terangkat angkat.

"Amir kerja 4 jam sehari. Sejam 6 ringgit... Anak Cik Rosli [jiran hujung sederet rumah kami] kerja bank, sebulan gaji baru 2000.."

Aku terima ayat ayah itu dengan dua jenis fahaman, samada dia benar memaksudkan atau cuma seloroh. Ibu jeling tengok muka ayah. Ada sedikit kelat pada muka dia. Barangkali ayah sudah menyampaikan hasrat aku yang selama ini cuba aku jelaskan. 


Sekejapan aku teringatkan cakap seorang sahabat yang beritahu; "Harga sehari Fasha Sandha berlakon, 1500 ringgit..." Aku diam saja.

Benar, menjadi seorang penulis, pemuisi, pengkarya seperti kami tidak segah sesetengah pekerjaan lain yang selalu sedap dipandang mata orang. Memegang status penulis juga selalu diskeptikalis sebagai orang yang hanya tahu bercakap dan berangan angan. Menjalani hidup sebagai penulis memang tidak membawa kami ke suatu tahap glamor seperti penyanyi atau pelakon. Tapi aku bangga untuk menyatakan, pengangkat bahasa dan budaya seperti tokoh tokoh sasterawan negara, kami miliki nilai yang tidak dikit dikit dan menjadi seorang penulis karya sastera bukanlah boleh dimilik ramai orang. Ia hanyalah untuk yang terpilih; yang dirinya bukan dipelajari tapi diberi. 

Aku jalan masuk ke dalam bilik dengan sejenis perasaan. Bukan perasaan riak atau apa, cuma ya, aku barangkali sudah mengetuk hati ibu dan akal akal sang pemandang sinis pada manusia kuat berangan seperti aku; tentang pemuisi dan penyair juga boleh senang kalau kena dengan cara. Juga janji abang untuk ibu, semua ini bukanlah untuk perkara yang sia sia!


Ini aku titip bait patah kata Dato' KEMALA yang tinggi ilmu bahasa, meremangkan seisi tubuh aku pada pembacaannya :


BALADA KAMBING GURUN

KEMALA

III

Sobekan-sobekan gunung batu
Sobekan-sobekan sejarah kelu
"Apakah tamadun?"
Kalau warnanya pudar kewalahan
"Apakah alaf?"
Kalau darjatnya pendar kekaburan

Ziarah sejarah melulur kambing gurun
Di gunung gunung batu
Empat puluh empat purnama
Dibelah petir pagi
Ulat ulat batupun mencibir

Aku muak. aku buak.
Wali dan qutub
Membawa pesan "tamadun telah berdarah!"

Alaf bernanah
Di hadapan cucu cicitmu
Jurang siap ternganga!

Kambing gurun
Di gunung gunung batu.
Meraung dan mencakar batu batu terjal.
Zikira, zikiru. zikiru, zikira.
Siapa alpa mulutnya ternganga.

Siapa mimpi dia mati.
Humpapa! Humpapi!
Laut bisu. Bulan bisu.
Langit bisu. Bisu.Bisssuuuuuu!

KEMALA

kuala lumpur ogos 1999
(ziarah tanah kudup 2006)

malam puisi warisan aswara
12 okt. 2011






| edit post

2 Reply to "Skeptikalis Seorang Penulis"

iskandar on November 9, 2011 at 3:43 AM

"Penulis ibarat nelayan yang pergi meredah ke lautan biru bermain dengan ribut, taufan dan gelombang untuk mendapat tangkapan"

 

Uzair Zain on November 9, 2011 at 9:50 AM

Ah! Molel umpamaan itu.. Saya setuju.