U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Aku Berjatidiri. (0)

Tuesday, November 13, 2012 by , under



Pengakhiran Oktober lepas, Prof Datuk Wira Latif tanyakan aku kalau-kalau 9-10 November ada masa kosong untuk ke Melaka. Fikirkan soalannya tertuju buat ayahnda Kemala, ya yang seperti selalu akan mengajakku sama. Cuma aku tak jelas acara apa, tapi lekas kata ya untuk ikut hujung minggu lepas yang berupa ke Konvensyen Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Malaysia di Audi Pujangga, Kolej Universiti Islam Melaka. 

Isu-isu lama tentang memartabat sastera dan bahasa masih dibolak-balik. Tentang pemimpin asyik dengan bahasa inggeris dalam mesyuarat rasmi dengan ahli, tentang kekurangan pengajaran kesusasteraan di institusi yang begini sebetulnya mengacau telinga. Bosan. Pada saya mudah, jangan ada istilah MEMARTABAT BAHASA MELAYU dan MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS. Bila frasa ini diterbang merata Malaysia, masalah-masalah begini rumit untuk dirungkai selesai. 


Di Konvensyen Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban
Malaysia. Ayahnda sasterawan negara Kemala di sisi, 
sebelah sana Mana Sikana berkaca mata, kami menunggu Ali.

Cuma isu yang menjadi pokok dalam pertemuan dua hari antara GAPENA, Kerajaan Negeri Melaka dengan berderet sasterawan negara dan guru-guru bahasa dari pelusuk negeri; Satu - soal kementerian pendidikan mewajibkan sastera inggeris di sekolah. Kenapa bukan sastera Melayu? Dua - 80%  pembelajaran sastera Melayu ditiadakan dan bukan Kementerian yang menutup kelas ini di sekolah tetapi pengetuanya. Ini kasihan sekali. Lebih kasihan bila Datuk Wira Latif sejak beberapa waktu dulu asyik menyebut bagaimana seorang datin berbangsa Melayu sendiri hadir dalam seminar-seminar dan membuat penolakan BM agar diterima bahasa inggeris sebagai bahasa rasmi. Aneh ya?

Sebetulnya aku ada keberanian untuk menyuarakan pendapat, mungkin ada juga berani kalau mahu memacak bendera dan bercakap di tengah kota tentang sastera. Cuma aku tetap pijak di rumput hijau. Aku masih anak-anak dan kawanannya kecil untuk melakukan perkara yang barangkali taboo. Tapi mungkin tidak akan taboo (Kalau si Adam itu boleh mengumpul rakan seperjuangan memporakkan kalendar negara dengan menurunkan bendera DS Najib di bangunan UMNO), kenapa tidak kalau aku mengumpul kawanan dan berteriak dalam puisi tentang rasa kebangsaan di tengah Pavi atau KLCC?

Ya, ini ada dalam pemikiran. Untuk melaksanakan? Perlu ada kekuatan. 1 - Kekuatan fizikal & akal. 2 - Kekuatan orang-orangan. 


di The Salon, Muzium Negara Singapura



di Festival Pavilion, Dataran SMU, Singapura

Kurang lebih dua minggu, pembuka November lalu aku diundang oleh pelakon tersohor Singapura, Rafaat Hamzah ke Singapura Writers Festival. Lebih terharu bila saya dikasi baris-baris puisi Masuri SN - Zaman Ini. Sebuah penghargaan yang molek. Acara seminggu itu sengaja aku terima dengan niat mahu lihat apa dan bagaimana industri penulisan di Singapura, sebuah kota yang tidak berjatidiri seperti Malaysia (Ini dicakap Prof. Mokhtar Yasin juga di Konvensyen, tentang UNESCO antara yang menasihati sisterm pendidikan matematik & sains dalam bahasa Inggeris ditukar semula dalam bahasa bonda kerana Malaysia gagal dalam tempoh perlaksanaannya. Lalu ada yang kata kenapa Singapura boleh berjaya? Kerana Singapura tidak ada jatidiri. Seperti UAE, China atau India. Pendidikannya dalam bahasanya, mereka berjaya kerana berjatidiri. Malaysia juga berjatidiri - nusantara Melayu). 

Industri penulisan di Singapura tidak besar tapi eksklusif. Saya diundang dua kali persembah lagu puisi di Festival Pavilion dan The Salon, Muzium Negara yang dipenuhi dengan pendukung sastera Melayu & bukan Melayu. Saya teruja samada kemeriahan itu benar-benar atas rasa penghargaannya atau kerana tidak mahu sastera yang sudah mengecil terus menguncup. Rafaat Hamzah, Najib Soiman dan Art Fazil dalam puisi Masuri SN cukup mempesona. Singapura ada kelas sastera yang tinggi dan dijaga. Seperti Malaysia ada AGI Ghaffar Ibrahim, Amram Ibrahim Rashidi dan Pyanhabib yang eksotis. Saya lebih gemar mendendangkan lagu puisi. 

SENI ISLAM : Malam Seni & Puisi Islami Numera sebagai tanda kemerduan jatidiri untuk memperkasa sastera dalam acara-acara yang berterusan. Sebagai satu medan melantangkan pandangan melalui seni & kepuisian walaupun tidak didengar seantero dunia cukup juga kalau dikhabar pada masyarakat sejagat Malaysia dan nusantara tentang kekuatan Islam yang istiqomah dijaga. Saya mengundang media dan seisi pendukung untuk menyampaikan hasrat saya kepada masyarakat tentang keinginan menjaga bangsa dan budaya dalam tanah ini. Biarpun ada yang ayat-ayat basi mengata; "Kenapa asyik sibuk tentang bangsa?" Ya, sebab India, China, Arab, Malaysia adalah nusantara Melayu yang berjatidiri. Agama dijunjung bangsa disanjung!


UU.



| edit post

0 Reply to "Aku Berjatidiri."