U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Hassan, Di Kanannya Khafiz. (4)

Monday, July 30, 2012 by , under

Deru. Wuuu! 

Lapan tahun terlambai-lambai. 

Udaranya sudah aku tinggalkan tapi angin acapkali menyapu muka, terbuai.


Hari ini sudah Ramadan ke sepuluh. Aku baru pulang dari kota Singa habis masa empat lima hari berpesta puasa di sana. Singapura masih serupa. Hiruk pikuknya tidak sama dengan keadaan di Kuala Lumpur. Kotanya kecil tapi bandarnya jauh maju dan masyhur. Tadi waktu dalam jalan menapak kaki ke rumah, bahang panas terlewati. Puasa sekarang tidak sealami puasa dulu dulu. Panjangnya sama tapi waktunya seperti mengecut. Syukur tertahan tahan gelodak nafsu dari pagi terbawa ke petang kabut. 

Petang nanti aku mahu keluar lagi. Kali ini mahu bawa janji yang tertanam sudah berhari hari. Mesej demi mesej terkirim dalam kotak mesej di Facebook oleh Kak Suzi. Barangkali benar mahu aku datang berbuka puasa di sana. Kak Suzi anak tunggal Mak Bibah dengan Ayah Gemok (nama benarnya Mahdar, tapi antara kenakalan atau kecomelan waktu kecil aku lalu nama itu diizin melekat hingga besar gini). Kata ibu, Mak Bibah menjaga aku sejak bayi. Kata ayah, ibu akan hantar aku ke rumah flat blok 27 tiap kali ibu mahu kerja; 25 tahun dulu. Sehingga di suatu peringkat umur waktu kami sekeluarga pindah dikit jauh, aku sudah tidak tinggal dijaga Mak Bibah. 

Tapi silaturahim tetap diistiqomah. Kata ayah, hubungan ini sudah lebih dari ikatan bersaudara seibu sebapa. Justeru jangan terpisah. Kerana itu sesingkat mana cuti pulang aku dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, tercuba cuba curi masa ke rumah sana. Ya, petang kejap nanti. Menunggu ibu dan kek lobak merah yang dalam oven sedang dibakar. Pasti ibu mahukan aku bawa sama. 

Oh! Sebelum ke Singapura hari itu, berduyun duyun mangga pauh gugur dari pokok besar di hadapan rumah lalu dihantar aku ke masjid untuk dikasi kasikan pada orang berbuka puasa. Dengan kudrat dua kaki yang kuat ini aku persetankan panas yang mencucuk kerana tahu ini sebuah amalan. Aku mahu pahala yang ditatang berganda di bulan ini. Jadi, ah apa salah berjalan saja. Mangga pauh yang kecil-kecil comel boleh terus dimakan suap itu terisi dalam plastik besar yang terikat elok. Kalau mahu mangga pauh yang kuning kulitnya teraduk hijau muda, singgahlah ke rumah! 

Terjingkit jingkit ikut titi dalam bulan Ramadan tahun ini menerbangkan akal aku pada macam macam cerita. Tentang rindu dan tentang kenangan. Tentang dunia sudah di hujung waktu dan tentang kehidupan yang menggebu. Berkeratan gambar pergi dan pulang. Mimpi pun makin aneh menjelang. Tentang kawan, tentang seperseorangan, ada juga tentang si perempuan. 

Sebelum datang Ramadan, khabar dari Mesir terbawa buat aku dari seorang sahabat yang sama sama mengaji dengan aku di Madrasah Bugisiah lewat lapan tahun lalu. Taufiq, Fidee, Ali dengan Amin dan Farhan antara yang hingga sekarang dalam akal tersemat tapi Hasanlah yang masih menghubungi aku biar jauh jauh dalam dunia maya saja. Hasan selalu tiup tiup semangat aku waktu di Bugisiah. Hassan orang terkenal pengerusi Maktabah (perpustakaan). Hasan selalu terbuka kalau didatangi masalah masalah aku.  Hasan rendah dikit tapi ditinggi tinggi ilmunya. Waktu di tingkatan lima, diamnya di kelas Muslim. Aku dalam Turmuzi dan diantara kami ada seorang lagi - Khafiz, ngaji di 5 Bokhari.

Penghidupan tahun terakhir aku dihimpit himpit ejekkan dan pandangan serong serata ustaz dan ustazah. Tahun penamat itu aku lalu dengan rasa senyap dalam tohmahan yang didakap aku. Biar di tingkatan tiga aku mengharum nama sekolah julang piala Johan Pidato Bahasa Inggeris ketegori Putera Menengah Rendah dalam pesta Ihtifal peringkat Negeri Johor tahun 2002, yang semasa dalam perjalanan pergi ke Sekolah Menengah Agama Kota Tinggi, seisi guru pengiring memuji muji kumpulan nasyid sekolah yang tersohor di kalangan sekolah agama arab di Johor. Siapapun pasti gerun kalau mahu bersaing dengan kumpulan nasyid sekolah kami. Aku dibiar tiri di ceruk belakang bas.  

Ah, hujungnya piala utama dibawa turun aku dari pentas besar turun ke bawah sebelum lari lari anak terus temu ibu dan ayah yang menunggu dalam kereta di padang sekolah. Nasyid cuma dapat saguhati. Aku pasti semuanya sudah lupa. Sumbangan ini barangkali dipandang kecil berbanding kesalahan yang menobrok zaman kekanakan. Salah lebih dibualkan. Jaya dipinggirkan kerana aku cuma bijak dalam berkreativiti berbanding yang seganding umurku. Mereka petah berbahasa arab, itu dipuji lambung. 

Hasan juga yang selalu datang dengar masalah aku waktu sepi begitu. Di kanannya pasti ada Khafiz. Setiap petang Hasan pulang dari kelas tambahan, Di kanannya pasti ada Khafiz. Setiap malam untuk solat beramai ramai di surau batu putih bekas peninggalan sekolah Annur yang sudah berpindah dari Tampok ke Benut, di kanannya pasti ada Khafiz. Pada setiap malam untuk kami kami ulang kaji di kantin besar, ya sebelahnya Khafiz. Jadi setiap kali aku bermasalah, Hasan di sisi dan Khafiz pasti terbuka kongsi. Kerana keakraban ini, Hasan terisi jadi bendahari sewaktu aku mempengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling dan Khafiz jadi setiausahanya. Kami bersatu hati walaupun Ustazah Norbayah hampir setiap hari membisik;

"Ramai ustazah tidak suka awak mempengerusi kelab ini..." 

"Saya maklum tentang kesalahan demi kesalahan tapi saya sayang apa yang sudah diusahakan..." 

Sejak tingkatan dua aku rasmi dalam badan pengawas dan antara yang paling diperhatikan. Sesungguhnya aku menjayakan setiap kerja yang dituding tugaskan. Apalagi selepas kejayaan besar di tingkatan tiga 2002, langsung di tingkatan empat aku dilantik jadi ketua Lajnah Kebajikan. Untuk mengepalai sesebuah lajnah adalah asing kalau datang dari kelas ke tiga. Biasanya dari Bokhari atau Muslim. Turmizi jarang jarang sekali. Kerana itu aku selalu diperhalusi. 

Kesalahan terbentang bila di penghujung tahun 2003, ada sebuah kegagalan yang tidak kuat lagi hati ini untuk diceritakan. 

Titik. 

Dalam penolakan demi penolakan, Hasan dan Khafiz yang masih di belakang aku seperti memejamkan mata orang orang supaya aku terus kekal jadi nakhoda kapal. Hasan tinggalkan kelas belajar ikut aku ke kelas demi kelas untuk penerangan demi penerangan tentang kelab kami. Khafiz ada waktu membontoti. Kerut kening yang mengerdilkan sepet matanya waktu diberi penerangan tentang rencana kami kadang-kadang aku tak fahami. Dalam kebijaksanaan mereka sebagai pelajar tersohor tidak mengurangi rasa saling menghormati. Hingga hujung tahun sampai kami disuruh berkumpul untuk petik gambar diabadi dalam Al-Fatih, aku masih didukungi dia berdua biarpun pasti banyak mata pandang tidak suka. 

Itu kenangan. 

Kerana itu aku sudah melupakan segalanya tentang sekolah menengah sejak hari terakhir kaki melepas pijakkan atas tanah berbatuan. Aku mahu meninggalkan semua yang pernah terjadi, yang menggerudi hati kecil. Hasan sudah berjaya di lapangan menjadi ilmuan, khabarnya mengajar anak anak muda. Khafiz sudah terbang ke Mesir. Kedua mereka lepas di Bugisiah terus ke Maahad Johor. Cuma aku yang ambil keputusan untuk lari jauh jauh ke Kuala Lumpur menunggang arus. 

Kata Ustaz Halim Shah, "Bukan semua orang perlu menjadi ustaz dan ustazah kalau mahu menyebarkan Islam. Ada orang perlu jadi saintis yang mencipta ilmu alam berdasar Islam. Ada orang perlu jadi peguam untuk menegak benang benang kelepet dalam kamar undang-undang. Ada orang perlu jadi ahli politik untuk membawa rakyatnya cemerlang..."

Cuma aku memilih untuk jadi anak seni, yang sejauh ini bergelumang antara noda dan ayat Baihaqi. Kalaupun bukan sekarang, dalam hati sudah percaya suatu hari nanti aku pasti menumpah bakti. Maka sejak itu kami terpisah. Akal dan bijaksana memisahkan. Enam tujuh tahun kami berenang atas laut yang sewaktu dalam Bugisiah dipandang sungai paya. Rupanya laut lebih melambung ombaknya.

Tapi petang itu, kurang dua minggu lepas, semua yang sudah aku layang layang buang bagai disedut pulang. Kenapa begitu mudah? Hari itu aku terima mesej dari Hasan; "Mar, Khafiz sudah meninggal dunia di Mesir...". 

Khabar itu disambut dalam rasa gamam. 

"Khafiz berlawan mahu larikan diri dari perompak kemudian dia kemalangan. Dia koma, tapi..."

Hasan dan aku bermesej tapi hati kami diruntuh runtuh rasa gumam. Khabar pemergiannya disambut dengan pampangan muka depan di Harian Metro, Berita Harian dan Kosmo. Khabar pemergiannya disambut dengan makluman dia lulus dalam peperiksaan tahun akhirnya. Khabar pemergiannya disambut dengan bulan Ramadan. Khabar pemergiannya disambut dengan lorong lorong kenangan yang terpusing kembali dalam diri aku. 

Seperti di suatu petang, selepas solat asar, arwah Khafiz buru-buru menghampiri aku.

"Mar, ini sepuluh sen duit baki kau.."

"Yang mana?"

"Semalam beli keropok dekat koperasi..." 

Ah! Lalu aku ingat. 

"Bahaya kalau hutang, di akhirat tak senang.."

Sepuluh sen yang bulatannya hanya mengacau hujung jari telunjuk itu, dipandang besar oleh arwah. Hingga sekarang aku terkenang. Dalam titi titi kecil lewati siku liku menjadi anak seni, penulis, berpuisi dan menyanyi, hidup aku belum menyenang tapi hari-hari kata itu bergenang. Semoga suatu hari nanti selesai semua apa yang terlilit di pinggang. Khafiz sudah pergi memenuhi undangan Ilahi. Hasan dan aku masih saling menghubungi. Bugisisah dan ceritanya tak mahu diratapi. 

Udaranya sudah aku tinggalkan tapi angin acapkali menyapu muka, terbuai. 

Lapan tahun terlambai-lambai. 

Deru. Wuuu! 

- Umar Uzair -


Ummul kitab..



| edit post

4 Reply to "Hassan, Di Kanannya Khafiz."

Cik Anna on July 30, 2012 at 6:42 PM

Sgt syahdu setiap bait-bait ayatmu..terkenang kembali kpd arwah di waktu persekolahan dulu..walaupun tidak berapa mengenali beliau, akan tetapi kebaikan beliau sudah membuatkan beliau dikenali di sekolah..Al-Fatihah

 

Cik Anna on July 30, 2012 at 6:43 PM

Sgt syahdu setiap bait-bait ayatmu..terkenang kembali kpd arwah di waktu persekolahan dulu..walaupun tidak berapa mengenali beliau, akan tetapi kebaikan beliau sudah membuatkan beliau dikenali di sekolah..Al-Fatihah

 

elyas Bakri on May 19, 2013 at 3:01 PM

Alfatehah

 

elyas Bakri on May 19, 2013 at 3:02 PM

Alfatehah