U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Adam Havana - IntroduksI 1

Wednesday, July 06, 2011 by , under

Introduksi.

Petang menjelang, aku tak tahu sampailah tadi pada jam bergantungan, dua mata aku memandang, azan asar pun berkumandang.

Sudah dua hari aku membiar setubuh diri bermalas malasan di ruang rumah. Kejap kejap duduk di kerusi sofa merah darah, membelek GLAM Lelaki, si Hardy Hartono menjadi pelapik muka. Tak habis lagi aku membaca satu satu isi buku. Aku lebih senang memandang, tajuknya tetap masih serupa; tentang lelaki, dunia glamour, mengajak manusia yang tidak ada kemampuan terbang tiggi berangan, Prada, dan Gucci. Bosan!

Sampai satu satu masa aku kebosanan bermandi semua ini, Gucci Roche yang sampai di rumah petang semalam pun masih terletak tak aku buka. Entah bagaimana rupanya. Separuh hari aku habiskan masa senggang melingkar atas sarang katil. Sudah dua hari juga bantal bantal bertaburan sana sini atas tilam beradu. Ada satu dua yang bersarung hitam itu terlantar atas lantai. Biarlah!

Sehari sebelum semalam aku letih mengemaskan isi rumah, baju yang sudah kering terbiar di jemuran juga aku lantakkan di dalam bakul, renyuk tidak terusik. Aku renung satu satu perkara itu dengan rasa kosong. Rambut separuh panjang yang kalau ditarik ke hadapan sampai ke pangkal bibir, sepuluh jari aku seka ke belakang. Tidaklah terapi kemas, tidaklah juga jatuh menyemakkan mata.

Sekejap aku diri lihat bangunan meninggi yang naik sebelah menyebelah tempat diam aku. Sekejap aku lempar mata tengokkan awan. Kosong. Langit biru tidak ada teman, lalu terik pun tak menyegan. Barangkali petang nanti bakal nangis lagi si hujan. Suara bising burung pun sudah tak kedengaran.

Alahai petang...

Empat lima saat aku begitu, membiarkan relung relung kamar akal aku berpeleseran. Tidak memikirkan apa. Aku lebih senang begini belakangan ini. Membiar perkara datang, duduk menyinggah dan kemudian pergi. Aku sudah jarang jarang habiskan masa untuk merancang jadual sehari sehari.

Biarlah.

Barangkali semuanya kerana lima hari yang lalu yang ceritanya asyik menendang bongkah kepala. Ada satu perkara yang kadang kadang bikin jantung aku selalu beroleng dengan kenangan. Ada satu tubuh manusia yang kalau pun bukan seharian bingkai bingkai muka dia bergantungan dalam akal, tapi waktu datang sekejap ia; menggegar sepelusuk jiwa. Aku fikir empat tahun tidak mendengar apa apa tentang dia sudah boleh buat aku melupa.

Tidak.


* * *


Desingnya meracau piung piung lagu di gendangan telinga lalu aku gelengkan kepala.

Ada bayang bayang bergoyangan memusingkan petik petik gambar akal kepala. Merahnya bukan saga tapi peningnya sudah terserlah. Empat lima jari di tangan kanan menyapu nyapu pipi yang tidak mengurangkan apa apa. Kekadang mata aku membulat sama. Laut laut fikiran berombak seribu rasa, tidak terpusat di mana mana. Jangan dikerling pada hati, lajunya langsung tidak diizin ditangguh tangguh.

Sekuat itu lima jari di tangan ayah menampar aku. Itu bukanlah kali pertama, tapi itupun bukan yang terakhir juga. Waktu aku bangun menatap mata dia, yang sebelah lagi tersinggah terkena hujung mata. Untuk yang kali ini aku seperti keterdesakan supaya menitiskan air mata. Hasratnya untuk menggoda hati ayah supaya isi hatinya tidak lebih lebih dituangkan minyak berapi.

"Kau tak habis habis susahkan aku!" Dan ayat itu bikin aku sedar, nangis aku tidaklah lebih dari sekadar perancangan yang tidak bermakna.

Ibu masih duduk di atas kerusi tengah ruang tamu rumah dengan dua tiga jari memegang dua tiga helai kertas bertulis hitam putih. Makin mata ibu tegak ke kertas yang sekejap dialih alih helaiannya, makin memulas isi tali dalam perut aku. Ketersangkutan isi dalam tubuh ini yang menyakitkan.

"Kenapa sampai dua ribu?"

Aku tak terjawab soalan ibu.

"Dengan siapa yang kau sibuk bergayut malam-malam?" Ibu tanya lagi, biar nadanya paling lembut bertanya tapi ayatnya bikin dada aku mendesah tak senang rasa dengar perkataan kasar yang jarang jarang dicakap dia.

Sebelum ibu tanyakan soalan tadi, ayah sudah meninggalkan; terdiri sendiri aku di hujung ruang tamu, pergi ke beranda depan nyalakan api rokok seperti selalu selalu yang dia hisapkan lewat petang selepas pulang dari kerja. Tapinya hari ini, ayah awal pagi sudah membakar lemak jangtung dengan kepuk kepuk asam berterbangan bila dihembuskan. Barangkali itu cara ayah untuk redakan marah dia. Entah.

Aku kesat pipi, barangkali titik titik air mata yang penghabisan. Entah apa yang patut aku jawabkan sekarang. Aku tidak pernah bersedia untuk semua yang tiba tiba terjadi pagi ini. Kalaulah aku lebih lekas mencelik mata pagi tadi...

Ibu cuti, ayah baru pulang dari Kelantan. Memang setiap pagi ibu menyapu laman rumah yang sebelum subuhnya pokok mangga yang rimbun sebelah tanah kosong depan sana, daunnya yang kembang menghijau cantik kalau sedang membuahkan tapi jadi kering kecoklatan waktu sampai matinya, selalu jatuh menutup lantai simen, dan setiap paginya kurang lebih jam 10, bunyi bising motor posmen bakal datang hantarkan surat yang kalau bukan untuk jiran jiran, untuk siapa lagi.

Yang namanya juga kalaulah sudah rezeki dari Dia. Dalam keramaian pagi sebelum sebelumnya, yang setiap saban pagi aku mencanak depan rumah sejak pulang bercuti di sini sebulan lebih yang lepas, pagi ini jugalah ada surat yang mahu menyinggah ke rumah. Lalu ibu membuka dan ibu membaca surat berupa bil telefon bulan lepas dari Telekom Malaysia sebelum ibu pekik panggilkan aku; berlari lari aku tuju ke depan yang rupanya menampakkan ayah sedang sedia seperti mahu membunuh aku.

Ya, bil telefon bulan lepas jumlahnya beribu itu. Bukanlah aku tak menduga jumlah isinya, sebab setiap hari selepas aku habis bercakap dengan empunya manusia yang bikin jumlah bil telefon aku sebanyak itu, aku mendail tiga digit tersohor untuk menyemak jumlah bil panggilan.

Bermula dengan angka 100 pada minggu pertama, naik ke 300 pada hari kedua minggu pertama, sampai ke angka 600 pada hujung minggu ke dua, cecah ke 1000 masuk minggu kemudiannya, dan nah! Hujung hujung itu angkanya. Memanglah tidak masuk dek akal kepala waras kalau memikirkan. Aneh sekali aku tak pernah berhenti menelefon si dia.

Cuma aku tak sangka begini ditahu ibu dengan ayah. Lekas muka empunya manusia yang setiap malam aku dail nombornya berterbangan semesta kepala. Kerana rindukan setubuh manusia yang tidak didekat mata, mendengar patah patah kata suara dia dalam gagang telefon hujung talian, pun tak apa apalah.

Ah! Gila!

"Aku tanya siapa yang kau telefon? Tengok jam pun malam-malam..." Tahulah aku yang ibu sedang telitikan isi kandungannya.

"Nanti orang bayarlah... Ibu tak payah bayar..."

"Kau nak bayar guna apa?"

"Nanti orang kerja, dapat gaji bayarlah..." Suara aku sederhana. Antara iya dengan tidak.

"Kau tak kerja, kau nak bayar bila? Bukan sikit sikit.."

"Tahulah.. nanti orang bayarlah... nanti esok orang keluar cari kerja..."

Entah dari mana akal aku mendapat jawapan itu.

"Cuba tengok nombor tu, aku nak telefon budaknya..." Suruh ayah pada ibu yang entah dari mana niatnya mendatang bikin jantung aku bagai tertanggal dari tetangkai uri. Ayah tak boleh tahu! Ayah tak boleh telefon dia!

Aku lekas lari masuk ke dalam, capai bimbit, dan menaipkan;

- Ayah nak telefon, jangan angkat!

Hantar.

"Dia kawan ja lah..." Aku cakap lagi. Separuh tinggi suara aku dari dalam.

"Kalau kawan tak kan sampai dua ribu?"

"Kawan lelaki.."

"Lelaki?" Lagak ibu paling terkejut mendengarnya.

"Apa yang dibualkan dengan lelaki malam-malam..." Ibu tak pernah putus soalan.

Aku diam sewaktu keluar semula ke ruang tamu. Ya, aku dan dia berbual panjang setiap malam, melepas rindu yang terbeban dalam tubuh melalui wayar wayar yang terselirat membalut dunia, jalannya merentas sawang sawang udara. Ah! Bodohlah aku!

"Bual bual ja..."

"Berbual apa lelaki dengan lelaki?!"

Bibir aku bergetar seperti mahu menjawabkan tapi suara tidak terkeluar.

"Kau bercinta dengan budak tu?" Bagai mencampak pedang ke tubuh aku menerima soalan berupa itu dari ibu. Aneh suara ibu bertanyakan tapi mata dia melekat tetap ke aku.

"Taklah!" Aku paling menafikan. Hampir terjerit saja, lalu menyeka rambut dengan lima jari, basah dihujungnya.

"Mana ada orang berbual lama lama sampai bil banyak macam ni?"

"Kasi nombor tu, aku nak telefon budaknya..."

Peluh peluh menitik bukan sikit sikit dari celah ubun kepala, panas tubuh aku melihatkan ayah sedang sibuk sibuk mencari telefon dia. Liur liur yang tertelan dalam kerongkong pun sudah aku tak terasa kotornya. Ombak ombak kuat melambung naik menghempas batu batu jantung aku, keras mengepam debaran.

"Tak payahlah.. Kawan biasa ja, ayah..." Aku bagai merayu, menghalang ayah untuk teruskan niat yang sudah dipasang. Ayah persetankan seraya separuh merampas kertas dari tangan ibu yang memberi. Diteliti satu nombor tapi berderet ke hujung kertas, lalu ayah petik petik nombor pada bimbit dia sebelum diletakkan pada hujung telinga.

"Siapa nama dia?" Ayah tanya.

Aku tak jawab. Aku lupa ayah berdiri bukan sehasta jauhnya dari sini, menyinggah lagi tangan kasar ayah ke pipi.

"Adam..." Aku tersebutkan. Lama ayah tegak memandang. Sebelah tangan dia mencekak pinggang; pada kulit tubuh atas tali pinggang kulit yang tersarung pada seluar coklat pekat. Mata aku terlekat pada bibir ayah yang basah bergetar, menahan marah. Pada peluh peluh dia yang keluar dari rasa bahang membaran. Aku tak menyalahkan. Lantai kayu itu aku tatap mengotorkan kosong mata.

Lima enam saat, tak terjawab. Aku hampir lega.

Ayah telefon lagi. Dua tiga kali.

"Budak tu tak angkat..." Cakap ayah untuk ibu.

"Kawan ja lah, ayah..." Aku tak cukup cukup meyakinkan lagi.

"Kawan apa sampai dua ribu?!" Ayah menempik suara, "Kau tak nampak surat ni ada palang merah?! Kalau kau tak bayar kau kena saman! Mana aku nak cari dua ribu?!" Aku tersengguk senguk menatap lantai. Lima jari aku menguis lima jari yang lain. Aku tak rindu suara tinggi ayah memarahkan, tapi betul sudah lama ayah tak berbuat gini. Cuma kali ini ayah marahkan aku kerana sebab yang tidak aku jangka.

Aku tengok ayah merenung ke luar entah ke mana. Ada kepul kepul asap bergelimpangan bila dihembus dia. Ke sana sini akal aku melayang memikirkan cakap ayah. Betul bukan sikit sikit duit yang kalau dikasi, bagai dicari dengan tulang tangan, lalu dibuangkan ke tempat lain; tidak merasa.

"Siapa nak bayar dua ribu ni?" Ayah tanyakan dengan muka tidak menengok sini tapi ayatnya ke aku. Biar aku tahu ayah sengaja mendesak aku berikan jawapan yang aku sendiri belum tahu apa caranya.

Langsung aku jadi batu.

"Aku tak akan bayar! Kau berhenti belajar! Esok keluar pergi cari kerja...Kau kena bayar sebelum 15 hari bulan! Kalau tak kau masuk lokap, biar mampus kau dalam tu jadi banduan" Sudah tidak tidak ayat ayah berselindung waktu sebelah tangganya mencampak dua tiga helai kertas ke muka aku. Pedih rasa hati bukan kerana helai helai kertas itu tertampan di muka, tapi perlakuan ayah yang pertama kali dinampak aku.

Ayah sangat marah.

Aku nampak mata dia bulat memerah waktu sesaat mata kami terlekat sama. Tak ada daya aku menatap muka yang kulitnya hampir menampakkan kedut tua. Ayah jalan lambat lambat tinggalkan telefon dia tuju ke belakang dan menghilang di dapur, keluar ikut pintu sana. Barangkali muak dia menengokkan aku yang belum puas menyusahkan tulang empat kerat itu.

Sekejap aku toleh tengokkan ibu, diam tidak membunyikkan apa apa, masih duduk di situ. Entah apa yang ibu fikirkan tentang aku. Barangkali ibu sudah tidak sayangkan aku. Barangkali apa yang ibu panggilkan buat aku itu sudah melekat dalam rongga rongga akal dia.

Bibir aku bergelora. Sepasang kening atas mata yang berkerut bikin kulit kulit muka aku serasa dilipat lipat tak senang rasa. Aku telan liur. Ketat, melekit rasa bila airnya bergelongsor ke dalam kerongkong tekak. Sakitnya bagai ada duri duri jadi peneman, bergesel ikut sama sama. Waktu aku sedang separuh menunduk mahu mengutip kertas yang dibaling ayah tadi, selirat selirat kepala aku bergelimpangan.

Satu satu aku ambil, akal aku bergenang pada keping keping muka dia yang menjadi alasan untuk semua perkara yang aku lakukan ini. Kalaulah dia bukan hidup jauh dari sini, tidaklah aku habiskan masa hari hari menekan nombor nombor asing yang dikasikan dia sebelum terbangnya jauh meninggalkan Malaysia ke Paris. Cakap cakap Adam yang aku dengar patah kata dia sehari hari, menyuruh aku menunggu pulangnya ke tanah sendiri, dan demi rindu yang entah sampai waktu bila, aku dibiar terduduk memikirkan; apalah semua ini.

Waktu itu air mata aku rupanya masih berbaki, jatuh menitik lagi.

- sambung



| edit post

1 Reply to "Adam Havana - IntroduksI"

iKhRam on July 7, 2011 at 1:25 PM

tp
kenapa adam??