U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Aku, Sithick Ali dan kenangan kami 1

Tuesday, October 20, 2009 by , under

Aku ada seorang kawan.

Nama dia Sithick Ali.

Aku kenal Sithick Ali waktu kami sedarjah, Lima Nilam. Lima Nilam adalah kelas ke empat sebelum kelas terakhir, Lima Delima. Sithick Ali bukan budak melayu. Dia budak India tapi dia Muslim (India Muslim) dan satu-satunya budak India dalam kelas aku dan dalam seluruh darjah lima. Semua orang tak suka kawan dengan Sithick Ali sebab Sithick Ali tak ada kulit putih atau sawo matang macam budak-budak Melayu atau Cina dalam kelas kami.

Dan bukan semua yang mahu kawan dengan aku, juga. Sebab aku gemok, hitam dan tak pandai. Dan aku juga berdarah kacukan Hindustan, Malialam dan Melayu. Jadi aku juga ada raut muka mamak yang pekat waktu dulu (sampai sekarang aku kira). Justeru aku duduk di belakang sekali. Sebelah aku, Sithick Ali. Hari-hari aku belajar dengan Sithick Ali. Hari-hari kami ke kantin sama-sama. Kadang-kadang mak Sithick Ali datang bawakan makanan. Kadang-kadang kami duduk lepak dekat garaj kereta cikgu sebelum tunggu loceng bunyi.

Kadang-kadang kami bergaduh sebab hanya aku yang suka menyakat Sithick Ali, jadi mahu atau tak, dia mesti melayan. Hujung minggu, kami ke kelas tambahan. Dan begitulah kami sehingga tamat darjah lima.

Suatu hari, waktu kami semua diminta beratur di padang, untuk pengagihan kelas darjah enam, aku dan Sithick Ali beratur di belakang sekali. Semua orang sudah diberikan kelas. Kebanyakan mereka masih duduk di kelas serupa. Juga dari kelas aku, ramai yang masih sama. Cuma ada yang naik satu tangga ke kelas Mutiara. Aku dan Sithick Ali berdiri diam-diam tunggu nama kami dipanggil.

Nama Sithick Ali dipanggil dulu;

"Sithick Ali, kelas Enam Intan"

Aku membulat mata, Sithick Ali membulat mulut dia, yang lain tercengang. Sithick Ali melompat ke kelas pertama?! Ah! Aku bukan cemburu tapi aku sedih dia bakal tinggalkan aku ke kelas lain. Sithick Ali tak senyum biarpun dia sudah berdiri dalam barisan budak-budak pandai.

Aku masih tunggu nama aku disebut, dalam terik tengah hari.

"Umar Uzair, ke kelas Enam Intan"

Ya Allah! Aku menggigil menyarung bag sandang tuju ke kelas Enam Intan (Lima Intan terkenal dengan budak-budak hyperactive yang miliki kuasa otak berlian. Aku disamakan dengan mereka?Aku?) Sithick Ali memeluk aku (mungkin sebab dia, aku dan semua yang lain, tak menyangka kami yang duduk di belakang waktu dalam kelas, yang tak diperhatikan oleh sebilangan cikgu2, diletak di kelas teratas).

Satu hari sewaktu Aizuddin, Harith (mereka sedia ada title Intan), aku dan Sithick Ali masuk ke bilik guru, ada seorang cikgu lelaki mengegur aku;

"Awak nak angkat buku pergi mana?"

"Kelas."

"Kelas awak mana? Ini untuk kelas enam Intan.."

"Saya enam Intan.."

"Awak enam Intan?"

Apa dia ingat aku bodoh dalam selekeh ke? Aku tunduk malu waktu balik ke kelas tapi Sithick Ali memujuk aku. Kata dia;

"Kita tak cantik, tak apa... tapi kita tak tunjuk yang kita bodoh..."

Aku senyum tapi waktu itu aku tak tahu maksud Sithick Ali. Dan aku persetankan sebab di kelas Enam Intan, kami tak dilayan seperti waktu kami ada di kelas lima Nilam. Aku dan Sithick Ali bukan lagi duduk terperuk di bahagian belakang. Kami berdua duduk ramai2 enam orang semeja. Kadang-kadang kami pinjam barang itu & ini, sama-sama. Kadang-kadang kami kongsi jawapan sama-sama. Kami ada Syafik, Muzahidin, Mustaqim(Mustaqim paling hawt sebab mata dia shahdu dan bibir dia jambu. LOL) Hari-hari kami rehat di kantin sama-sama. Kalau PJK, kami main di padang sama-sama. Aku dan Sithick Ali sudah tidak ditinggalkan lagi.

Hari ini, dah 11 tahun berlalu. Aku sudah tidak dengar khabar Sithick Ali. Lalu semalam aku ikut kakak angkat aku pulang ke rumah dia, waktu dalam perjalanan balik, kami singgah di sebuah pasar di Taman Dahlia (pasar ni nearby sekolah rendah lama aku). Waktu aku keluar dari kereta, aku pegun lihat kereta cantik BMW masuk parking sebelah kami. Aku sedang masuk ke dalam kereta, dan memerhati orang yang baru menutup pintu BMW dia, dan pemiliknya; Sithick Ali.

Aku senyum, lalu aku teringat ayat pujukan dia lantas kenangan kami pun teroleng sama...



| edit post

1 Reply to "Aku, Sithick Ali dan kenangan kami"

Penapenis on October 20, 2009 at 4:11 PM

Suweetttt...