U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Alahai Manusia... (0)

Saturday, April 07, 2007 by , under



Dua tahun cuba menyesuaikan diri dengan kehendak tujuh anak, tetapi kasih sepasang suami isteri warga emas bagaikan semakin ditolak jauh sehinggakan mereka kini lebih sanggup berada di rumah kebajikan berbanding kediaman anak sendiri


Itu kesimpulan dapat dirumuskan seorang ayah, Bakhtiar Ramli (bukan nama sebenar), 63, ketika menceritakan peristiwa dilalui bersama isterinya berusia lingkungan 50-an yang menghidap penyakit mental.


Lebih menyayatkan hatinya apabila seorang daripada tujuh anak mereka sanggup memaki-hamun ibu kandung ketika menumpang di rumahnya di satu kawasan perumahan di sini, menyebabkan pasangan itu melarikan diri. Berikutan itu, pasangan berkenaan bertekad tidak mahu lagi tinggal bersama anak mereka walaupun dipujuk, sebaliknya lebih selesa mengharapkan ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menempatkan mereka di rumah orang tua.


Menurutnya, sebelum ini mereka tinggal bersama anak bongsu di Simpang Renggam, tapi kemudian dibawa ke Kangkar Tebrau, dekat sini, oleh seorang lagi anak. “Bagaimanapun, kami sering bertengkar kerana dia selalu marah dan maki-hamun ibunya. Saya pernah menasihatkannya jangan terlalu marahkan ibunya, maklumlah isteri saya mempunyai masalah mental. Jika dimaki atau marah setiap hari sekali pun, ia tidak akan membawa sebarang perubahan.


“Bagaimanapun, dia (anak) tetap degil dan terus mengulangi perbuatan itu menyebabkan saya melarikan diri, Februari tahun lalu, dan tinggal bersama seorang saudara di Taman Molek,” katanya ketika ditemui. Sejak itu, katanya, tiada seorang pun anaknya datang menjenguk atau menghulurkan bantuan atau wang bagi perbelanjaannya menyebabkan dia rasa begitu bersalah dan tidak sedap hati kerana membebankan keluarga lain.


Berikutan itu, katanya, dia merayu pihak berkuasa supaya menghulurkan bantuan kepadanya dan isteri dengan menempatkan mereka di rumah orang tua serta diberikan bantuan perubatan. “Malah, sejak tiga bulan lalu saya tidak lagi menggunakan pam untuk penyakit asma, sebaliknya hanya menyapu minyak angin.


“Saya tahu kos membeli alat itu agak mahal dan tidak mahu membebankan lagi saudara kerana selama ini mereka yang memberikan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal kepada kami suami isteri.


“Cukuplah kami menyusahkan mereka selama ini dan kini kami berharap pihak berkuasa dapat memberikan bantuan kepada kami meneruskan hidup,” katanya. Menurutnya, isterinya yang sakit mental akan bercakap sendirian sepanjang malam dan tidak tidur serta memerlukan bantuan perubatan.


“Apa yang menyedihkan, sehingga kini tiada seorang pun anak datang menjenguk walaupun pada Aidilfitri mahupun Aidiladha lalu. Mereka tahu tempat kami menumpang sekarang.“Sekarang, saya hanya tahu saya ada 10 cucu tapi tak tahu jika bilangannya bertambah,” katanya.


Menurutnya, mereka mempunyai tujuh anak, lima daripadanya perempuan dan dua lelaki, membabitkan kakitangan kerajaan seperti guru, pekerja kontrak, pengawal keselamatan, tentera dan polis.

*aku tidak dapat membayangkan wajah anak2 mereka yang sanggup melayan org tua sendiri begini. Alahai anak... Alahai manusia.. ~ Bujang Lara ~



| edit post

0 Reply to "Alahai Manusia..."