U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Duniaku Numera. (0)

Thursday, September 20, 2012 by , under

Sibuk-sibuk saya tidak tamat walaupun Jelajah Baca Puisi Numera yang tergabung indah bersama UiTM di FiTA Fiesta dekat perkarangan Fakulti Filem, Video & Animasi yang dibanjiri kurang lebih 1 300 penuntut di sana dan khabarnya selesai lewat jam 12 tengah malam semalam. Walaupun hati terpukul mahu duduk lama untuk berkenal dengan warganya, barangkali bersidah di petak-petak jualan bebuku dan barang lain, saya harus ikut pulang bersama ayahnda Kemala lebih awal. Kedatangan disambut pensyarah fakulti dan Prof. Madya Razak Mohaidin yang sewaktu berbisik bakal keluarkan sebuah filem baharu yang judulnya bikin saya senyum simpul mengarah kepala pada ayahnda Kemala. 


Mulai celik mata pagi tadi saya sudah mematikan hal semalamnya untuk memaku hal-hal yang lebih besar bakal datang pertengahan minggu depan. Seminggu selepas Syawal pertama, ayahnda Kemala bermesej di FB tentang hasrat merencana Baca Puisi Dunia Numera yang pemuisinya diundang atas hubungan persaudaraan antara penyair dunia nusantara - Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Rusia, Bangladesh dan beberapa lagi dengan Dato' Kemala (DK - panggilan saya padanya. Bukan Dato' K ya!). 

Saya takjub dengan keakraban itu kerana ia nampak memudahkan. Menurut saya, tidak ramai sasterawan negara yang memiliki hubungan baik dengan penyair tersohor dari luar negara apalagi untuk kerjasama melaku pembudayaan pengucapan puisi dalam masa yang tidak panjang. Atas kemudahan itu, saya berbuat sehabis baik merencana beberapa perkara yang memerlukan saya. Beginilah maksud saya, DK punyai hubungan baik dalam dan luar negara, saya anak muda yang membantu hasratnya menjayakan acara kesusasteraan dalam gaya orang muda teraduk klasik lama. Saya tidak mungkin dapat menjayakan acara sebesar ini sendirian tanpa hubungan baik itu dan DK mungkin sedikit payah melaksanakannya kerana usia yang berakar berdasawarsa. Kami saling memerlukan. 

Lima enam tahun dulu, DK pernah adakan Pengucapan Puisi Dunia tapi terhenti atas beberapa perkara. Justeru sekarang kami saling bersilang bahu mengusahakan semula dengan nama Baca Puisi Dunia Numera yang kami rencana untuk adakan dua tahun sekali. Klik Baca Puisi Dunia Numera untuk info & jadual penuh acara.



Baca Puisi Dunia Numera meruntun hati saya bila diberi keizinan bertemu mata sehimpun tokoh sastera ulung dari Indonesia, Brunei, Thailand & artisan tersohor dari Singapura. Apalagi bertentang mata dengan LK Ara sasterawan Aceh dan Rafaat Hamzah yang cukup gah di Singapura yang selama bertahun ini acapkali menonton dia berperan dalam naskah drama berat di sana. Ya, Rafaat Hamzah memang hebat seiring Azhar Nor Lesta. Bahkan jauh hebat dari Aaron Aziz. Makanya saya jadi berbaur. 

Menggauli bonda Siti Zainon Ismail, pak LK Ara, Rafaat Hamzah, Iwan Soekri, Zefri Ariff, Zubaidah Djohar, Dr. Phaosan Jehwae dan setia didamping ayahnda Dato' Dr. Kemala dalam acara dua hari ini menerbangkan pemikiran dan apresiasi saya terhadap dunia sastera dan kehidupan sebagai manusia ke sejenis tahap yang beza bahkan lebih tinggi. Dalam keriuhan dihimpit orang-orang lama ini, dalam sedar dan tidak rupanya saya yang termuda. 

Dalam keramaian menguruskan tetamu dari tujuh negara itu saya tidak menceraikan peluang yang terhampar depan mata untuk mendekat setiap satu dari mereka. LK Ara, Rafaat Hamzah dan Zubaidah Djohar antara tiga persona yang mengizinkan saya menyelami diri dan tata budi diri mereka. Walaupun dari satu sisi lain saya benar ingin mengenali bonda Siti Zainon Ismail (yang lukisannya pernah saya singgah tatapi di pameran seni potret di Galeri Petronas seminggu sebelum Baca Puisi Dunia Numera) lebih dekat cuma sayang sekali pembabitannya terbatas apalagi tidak ikut serta kami semua ke Cruise Tasik Putrajaya pada petang penutupan. Barangkali sibuk. 


Tapi bonda Rosmiaty Shaari berbisik pada saya jurus tamat malam persembahan di Rebung, Bangsar; 

"Pandai kamu pujuk bonda Siti. Dia susah sekali mahu bersetuju untuk hadir dalam acara-acara begini.."

Saya kerut dahi, kerana ajakkan saya itu disambung molek oleh Siti Zainon Ismail. "Maksudnya apa?"

"Acara glamor begini. Dia susah mahu datang..."

Nah! Kalaupun bukan semua setidaknya saya sudah merubah pandangan sesetengah orang, acara sastera juga boleh menjadi glamor kalau keluar dikit dari kebiasaannya. Memang saya cuba memalit acara Numera dengan percik glamor ke dalam majlisnya dengan pembawaan yang baru, sedikit remaja tergaul seni lama.

Malam pertama dilimpah glamor selain dari pembacaan eksotis tetokoh sasterawan besar dari tujuh negara, Baca Puisi Dunia Numera juga didatangi Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik yang merasmikan, Ketua Pengarang Berita Harian - Dato' Mior Kamarul Shahid, pengarah dan penerbit Raja Azmi dan biduanita negara Salamiah Hassan. Sebelum hari ke dua kami bersidang di Sanggar Tun Sri Lanang dekat mercu Dewan Bahasa Pustaka dalam dialog tajam 'Penyair Dunia, Peradaban & Krisis Abad ke 21' yang mencungkil bermacam idea tentang tugas penyair, adab-adab menjadi seorang sepertinya dan patah yang tidak terpadam dari ingatan saya bila dipacul oleh Dr. Phaosan Jehwae tentang krisis Melayu di Thailand sehingga dicakapnya; "Jangan panggil kami Siam. Panggil kami Melayu...". 

Ini membuat saya bangun dan mempersembah tepukan sebelum diiringi yang lelain. 


Malam itu selepas tamat semuanya, saya bawa Rafaat Hamzah, Zubaidah Djohar dan pak LK Ara makan malam di Nasi Ayam Hainan dekat Bukit Bintang. Betapa terpasak dua hari itu dalam hati-hati kami sehingga  bersungguh-sungguh dicakap pada saya; akan diusaha juga acara begini di masa mendatang tapi kali ini di Aceh! Wah, saya menyambut dengan rasa suka. Dua hari yang besar itu sungguh dirindukan saya, apalagi Rafaat Hamzah sudah berkali berpesan sehingga suapan terakhir sarapan kami di kafe hotel; supaya singgah ke studionya bila pulang ke Singapura. Ada banyak perkara yang ingin diusaha sama di Temasek.

Ah! Pemenang aktor terbaik tiga kali mengundang saya, mahu tolak bagaimana? Ya, tidaklah!



| edit post

0 Reply to "Duniaku Numera."