U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Syarat (0)

Sunday, May 22, 2011 by , under


Betul, aku rindukan hujan.

Aku tak kisah kalau yang memanggil itu adalah si katak. Hidupnya bergelandangan atas lumpur kotor. Kadang kadang katak melompat masuk salah tempat, lalu dia ditendang. Kadang kadang suara katak dikata orang, hodoh! Serupa jangan didengar. Tapi orang orang barangkali lupa, yang dipanggil katak itu adalah suatu rasa yang indah.

Hujan turun bukan sikit sikit belakangan ni dan ada waktu kalau hujan dipanggil, turunnya menutup dinding bangunan. Panas pun terik bukan calang calang, kalau tak diselangkan dengan rasa suam. Kekadang kalau diperhati dari mata ikut tempat duduk diam aku di tingkat tinggi, sini, berdebu. Kerana itu aku selalu tunggu rengekkan katak.

Betul, aku sukakan hujan.


Bila langit mengamuk, hujan datang dengan panah panah petir. Ikutkan sains manusia, petir datang kerana geseran langit hitam waktu hujan, tapi angan aku lebih senang dengan cerita petir datang kerana tusukkan tajam menikam makhluk makhluk bertanduk; yang matanya bulat memerah.

Cumanya air air hujan deras hempas lantai bumi belum boleh setanding dengan ghairah hati aku yang sejak semalam begendangan dengan lagu lagu merdu. Cumanya panas terik belum boleh sebahang hati aku yang kalau dengarkan nama dia, sepenjuru lekuk hati aku bergetar atas nama rindu. Cumanya rasa suam belum boleh mengesat peluh peluh yang menitik dari pucuk pucuk bulu yang tumbuh gerbang pada dada aku, kalau teringat betapa suka aku kalau dalam dakap tubuh dia.

Lalu aku duduk diam.

Dalam diam, akal berpeleseran. Tentang; aku mahukan dia, lebih dari sekadar saja saja. Tentang; aku perlukan dia, bukan untuk didakap saja. Tentang; aku barangkali sudah suka, bukan yang iya iya bunyinya. Rupanya, dalam diam diam aku duduk memerhati pekat hujan - aku sudah jatuh suka.

Aku lupa sejak bila jiwa aku ditinggalkan sendirian. Sudah terlalu lama. Sampailah semalam waktu aku duduk duduk perhatikan pokok tinggi bergoyangan, kejap ke kanan, kejap ke kiri; muncung muncung angin melengkapkan. Ya, sampailah semalam aku rasa, aku perlu pergi ke depan untuk miliki dia yang aku suka. Aku mesti kejar dia. Aku harus tahu untuk tetap bertemu dia. Tapi tak sampai dua tiga kelip mata, akal teringatkan - aku sudah lupa bagaimana untuk jatuh cinta.

Atau mungkinkali aku sedang lintasi syarat angaukan dia? Apa, kalau celik mata teringat waktu bersama; angau panggilnya? Apa, sedang mahu menyuap makan, terbayang dia menemankan depan mata; angau dinamanya? Apa, kalau aku menjemput datang makan malam di rumah lalu bila dia menolak dengan kata,

"Sorry dear, I have to cancel our dinner tonight. Ada kerja kena siapkan..."

Lalu aku bagai nak gila separuh nyawa, angau sebutnya? Apa, waktu aku sedang duduk duduk dalam bilik mandi, mahu melepas hajat yang terbeban bikin perut memulas, tapi mata melekat ke dinding pintu, dan akal tetap berangankan tentang dia, tahu tahu sudah lega; angau ayatnya?

Aku terdiam.

Malah baru sedar, aku sudah lupa apa syarat syarat untuk memikat, kerana suatu waktu dulu - benar aku berani untuk memulakan. Aku berani untuk mencari, menunjuk muka. Aku tahu selok ke sana sebelum belok ke sini; tarik tali perlahan lahan sampai ia tertangkap dalam genggaman.

Cumanya itu dulu.

Aku rupanya sudah bukan orang yang serupa. Aku lupa apa syarat untuk meletakkan diri sampai jatuh cinta. Aku sudah lupa bagaimana jalannya untuk masuk ke dalam yang namanya 'perhubungan'. Kerana aku sudah lama ditinggalkan sendiri. Aku sudah tidak tahu untuk mengejar orang yang aku suka. Aku sudah tidak tahu apa yang perlu untuk buat.

Barangkali kerana aku sudah selalu terima sebuah penolakkan, dan aku sudah tidak tahu bagaimana untuk harus dinampak dia. Aku tepuk lima jati melekat pada dahi! Aku tampar pipi berkali! Aku sandar badan pada empuk kerusi.

Atau rasanya aku masih belum lupa cuma jiwa sudah tidak sekeras dulu. Kalaupun aku masih tahu untuk mengejar cinta dia, aku hanya berharap kali ini didatangkan dengan pembalasan 'iya'. Kerana aku sudah hampir jelak mencari, mengenali dan kemudian ditinggalkan tanpa memiliki. Barangkali aku bukan pilihan orang orang yang pernah aku suka. Juga aku belum tahu kali ini bagaimana.. Jalan terus saja...

Aku dongak lihat ke luar. Hujan sudah berhenti tapi langit kelabu berpeleseran. Kekatak sudah hilang, pulang ke kali..

Aku masih duduk diam, mengingati rupa dia yang sudah aku pahat kuat kuat, tergantung pada mata; belum bertali...



| edit post

0 Reply to "Syarat"